21 sarang dadah dikesan di Terengganu

Tium Ming Kung
Tium Ming Kung
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu mengenal pasti 21 lokasi di negeri ini yang dijadikan sarang dadah dalam Op Jihad Dadah 2.0.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Tium Ming Kung berkata, Op Jihad Dadah 2.0 yang mengetengahkan konsep 3C (combat, contain, control) dilancarkan pada 14 Oktober lalu.

Menurutnya, operasi itu bersifat 'selepas penjagaan' iaitu penglibatan masyarakat setempat dalam memastikan penagih sentiasa mendapatkan sokongan berterusan.

"Jika sebelum ini, polis hanya memfokuskan operasi dan tangkapan yang dijalankan di lokasi dikenal pasti dan selepas operasi, mungkin mereka akan berkumpul semula mengambil barang terlarang tersebut.

"Jadi kali ini, kita memperkenalkan konsep 3C dalam Jihad Dadah 2.0 iaitu pertempuran (combat) yang mengambil masa selama 10 hari; mengandungi (contain) bersifat rondaan dan lawatan berterusan di lokasi yang telah dikuatkuasakan selama lapan hari," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Ming Kung berkata, selepas itu ada proses mengawal (control) iaitu tempoh mendapatkan maklum balas daripada masyarakat berkenaan keberkesanan dan membuat lawatan terhadap orang kena pengawasan dengan kerjasama Jabatan Perpaduan, Jabatan Kebajikan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan pemimpin setempat selama tujuh hari.

"Usaha ini bagi memastikan keluarga penagih didampingi untuk memberikan mereka sokongan agar tidak kembali menagih," katanya.

Beliau berkata, pelancaran Op Jihad Dadah 2.0 tepat pada masanya apabila kerajaan membenarkan rentas daerah dan negeri serta sekatan jalan raya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga ditamatkan.

Artikel Berkaitan:

"Ini secara tidak langsung telah memberikan peluang dan kesempatan kepada penagih dan pengedar untuk mula berkumpul di kawasan penagihan mereka sebelum ini.

"Sarang dadah mula bercambah dan Ops Jihad Dadah 2.0 dilakukan secara strategik mengikut kawasan yang menjadi penumpuan penagih dan pembekal barang terlarang ini," katanya.