Sila log masuk terlebih dahulu.

JDT perjelaskan insiden di Stadium Sultan Ibrahim

Kenyataan dimuatnaik JDT di laman Facebooknya pada Rabu.
Kenyataan dimuatnaik JDT di laman Facebooknya pada Rabu.
A
A
A

JUARA Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) menafikan dakwaan bahawa marshall bertugas semasa perlawanan Kumpulan D saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Selasa, sengaja berdiri menutup kain rentang dipasang para penyokong Sabah FC.

Sebaliknya menurut JDT, marshall bertugas yang berdiri di depan para pemain ke-12 The Rhinos itu hanya membentuk 'penghadang manusia'.

"Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) ingin menjelaskan mengenai insiden di Stadium Sultan Ibrahim di mana marshall dikatakan sengaja berdiri di hadapan kain rentang penyokong pelawat, kononnya menghalang kain rentang tersebut daripada pandangan.

"Memang benar bahawa marshall berdiri mengelilingi para penyokong Sabah tetapi ianya hanya kerana ingin membentuk penghadang manusia kerana penyokong-penyokong Sabah ini tidak berada di kawasan tempat duduk khusus buat penyokong pelawat," kata JDT dipetik dari laman Facebooknya pada Rabu.

Pada masa sama jelas JDT, Sabah FC juga tidak memohon sebarang peruntukan untuk penyokong lawan, hinggakan para penyokong Sabah hanya boleh membeli tiket di bahagian penyokong tuan rumah dan duduk bersama-sama mereka.

"Ianya adalah satu niat yang murni buat kelab untuk membenarkan para penyokong Sabah masuk ke stadium dan menyediakan kawalan keselamatan yang mencukupi untuk mereka.

"Pihak kelab juga telah memberi amaran kepada marshall kerana tidak mengambil langkah berjaga-jaga terlebih awal dan sebaliknya menonton perlawanan, tidak memerhati penyokong," katanya.

Pada perlawanan itu, JDT mengesahkan kemaraan ke suku akhir saingan Piala Malaysia selepas menewaskan Sabah, 3-0 hasil jaringan Leandro Valazquez dan dua gol daripada Bergson da Silva.

Artikel Berkaitan: