X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Diperdaya pelaburan dalam talian, kontraktor rugi lebih RM300,000

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

SEREMBAN - Seorang kontraktor di sini mendakwa kerugian RM303,084 selepas diperdaya tawaran skim pelaburan dalam talian tidak wujud yang diperkenalkan rakan media sosial, dikenalinya dua bulan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, lelaki berusia 54 tahun itu mendakwa berurusan dengan seorang wanita dikenali sebagai 'Lilina Lim’ menerusi laman Facebook pada 24 September lepas, disusuli dengan perbualan melalui WhatsApp.

Menurutnya, mangsa diminta mendaftar satu pautan seperti diarahkan wanita terbabit selain perlu membuat bayaran lebih tinggi untuk mendapatkan taraf orang kenamaan (VIP) sekiranya ingin mendapatkan wang lebih cepat.

“Siasatan awal mendapati, mangsa yang percaya dengan tawaran dijanjikan telah membuat pindahan wang secara berperingkat ke dalam tiga akaun berbeza bermula 15 hingga 31 Oktober lepas dengan keseluruhan berjumlah RM303,084.

“Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang keuntungan diterima selain wanita terbabit turut mendiamkan diri selepas pembayaran dibuat,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Aibee berkata, suspek turut menyamar sebagai pegawai polis daripada unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) dengan menyatakan mangsa melakukan kesalahan berhubung kesalahan di bawah AMLA dan perlu membuat pembayaran lagi sekiranya mangsa inginkan semula wangnya.

Beliau berkata, mangsa yang menyedari dirinya ditipu telah membuat laporan di Balai Polis Rahang semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang akauntan di syarikat swasta di sini mendakwa kerugian lebih RM60,000 akibat diperdaya kenalan di Facebook berhubung kerja sambilan sebagai penyelia di sebuah platform beli-belah dalam talian.

Lelaki berusia 28 tahun itu mendakwa menerima pautan untuk membuat promosi barang dan diminta berhubung dengan pihak khidmat pelanggan untuk mendapatkan kerja tersebut serta perlu memasukkan sejumlah wang sebagai pendaftaran pekerja dan komisen mengikut barang ditempah.

“Mangsa kemudiannya membuat tiga transaksi ke beberapa akaun bank berbeza sejak 29 Oktober hingga semalam dengan keseluruhan berjumlah RM67,069, bagaimanapun sehingga kini mangsa masih tidak menerima sebarang respons untuk urusan kerja tersebut,” katanya.

Mangsa yang menyedari ditipu telah membuat laporan di balai polis berdekatan dan kes turut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - Bernama

TAG: pelaburan tidak wujud, kontraktor, lelaki, kerugian, aibee abd ghani, kerja sambilan


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!