Masing 'tulang belakang' kejayaan GADS: Naib Pengerusi

Mendiang Masing
Mendiang Masing
A
A
A

KUCHING - Gagasan Anak Dayak Sarawak (GADS) menyifatkan mendiang Tan Dr James Jemut Masing, Timbalan Ketua Menteri Sarawak yang meninggal dunia Ahad lepas sebagai seorang pemimpin Dayak yang amat disanjungi dan menjadi tulang belakang di sebalik kejayaan persatuan itu.

Naib Pengerusi GADS, Albert Lawrence berkata sejak penubuhan persatuan itu pada tahun 2015, mendiang adalah antara penasihat yang paling banyak memberikan sokongan kerana mahu melihat ramai lagi dari kalangan kaum Dayak, terutamanya yang muda berjaya dalam bidang perniagaan.

“Beliau mahu melihat lebih ramai orang Dayak menceburi serta berjaya dalam bidang perniagaan kerana menurut mendiang, ia adalah kunci untuk meningkatkan ekonomi kaum Dayak secara keseluruhannya.

“Satu daripada kesungguhan mendiang untuk melihat kaum Dayak maju adalah mendiang sendiri akan turun padang menyokong setiap aktiviti dijalankan oleh persatuan, contohnya Gawai Dayak Bazaar yang diadakan julung kalinya di Miri pada ketika itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis penghormatan terakhir untuk Masing di bangunan Association of Churches in Sarawak (ACS) di Jalan Stampin di sini.

Bagi Setiausaha Agung GADS, Cilla Balla pula, beliau menyifatkan mendiang seorang pemimpin yang hebat, sering mendorong persatuan mencapai matlamat untuk memajukan kaum Dayak.

“Beliau seorang yang lemah lembut. Kalau memberi nasihat, memang terus ke hati, kita tahu yang dia sangat prihatin, sebagai ketua beliau sentiasa ada. Beliau sentiasa menggalakkan usahawan Dayak untuk memainkan peranan penting dalam ekonomi. Sumbangan beliau amat berharga buat kami,” katanya.

Jasad Masing dijadualkan dibawa ke Nirvana Memorial Park, Kuching untuk upacara pengebumian pada 2 petang ini selepas selesai upacara penghormatan terakhir.

Artikel Berkaitan:

Masing yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh meninggal dunia di Pusat Perubatan Normah Sarawak (NSMC) di Petra Jaya, Kuching pada 7.05 pagi Ahad. Beliau berusia 72 tahun.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak pada September selepas disahkan positif Covid-19 dan kemudian dipindahkan ke NSMC untuk rawatan susulan. - Bernama