Bajet 2022 utamakan kebajikan rakyat: Ismail Sabri

Ismail Sabri (dua, kanan) melancarkan Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) di Taman LTAT, Bukit Jalil hari ini. Turut hadir, Hishammuddin (tengah), Affendi (kanan) dan Zamrose (kiri). - Foto Bernama
Ismail Sabri (dua, kanan) melancarkan Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) di Taman LTAT, Bukit Jalil hari ini. Turut hadir, Hishammuddin (tengah), Affendi (kanan) dan Zamrose (kiri). - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bajet 2022 yang dibentangkan pada Jumaat lepas mengutamakan kebajikan rakyat yang teruk terjejas berikutan pandemik Covid-19, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, keputusan kerajaan membentangkan bajet berjumlah RM332.1 bilion itu dilakukan selepas mengambil kira semua keadaan termasuk kedudukan kewangan negara.

"Saya telah beritahu sewaktu pra-bajet bahawa bajet ini mengambil kira semua dan kebajikan rakyat adalah amat penting, rakyat telah susah selama setahun dua ini akibat pandemik, ada yang kehabisan wang simpanan.

"Oleh itu, kita beri bantuan tunai kepada rakyat untuk bantu mereka teruskan kehidupan, bantuan turut diberi kepada syarikat-syarikat mikro yang terjejas teruk kerana tidak boleh menjalankan perniagaan akibat Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran Rumah Keluarga Angkatan Tentera di Bukit Jalil, di sini.

Ismail Sabri mengakui bahawa Bajet 2022 yang dibentangkan pada Jumaat lepas menelan belanja yang besar.

“Memang benar kita berbelanja besar, kerana kita perlu jaga kebajikan rakyat, saya yakin Kementerian Kewangan akan menguruskan perbelanjaan ini dengan baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad pada Selasa di Dewan Rakyat bahawa Bajet 2022 terlalu besar dan memberi kesan buruk terhadap kewangan negara.

Sementara itu, Ismail Sabri turut menafikan Bajet 2022 bersifat perkauman seperti didakwa oleh Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri berkata dalam bajet yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz terdapat peruntukan yang disalurkan kepada kaum Cina, India, Orang Asli, Sabah dan Sarawak.

"Saya rasa dia tidak faham mungkin dia tidak baca bajet berkenaan, apa-apa pun menteri kewangan akan jawab dengan lebih lanjut di Dewan Rakyat nanti," katanya.

Hadir sama dalam majlis itu, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain. - Bernama