Kes bunuh Zulfarhan: UPNM, ATM diingatkan tidak ulangi jenayah

Allahyarham Zulfarhan
Allahyarham Zulfarhan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Hukuman penjara terhadap 18 bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) selepas didapati bersalah atas kematian Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain adalah peringatan buat semua terutama kepada warga universiti itu dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia menjadi pengajaran supaya perbuatan keji berkenaan tidak diulang lagi.

Malah, beliau sendiri juga tidak akan sesekali berkompromi dalam soal jenayah dan kezaliman.

"Kematian Allahyarham Zulfarhan empat tahun lalu amat mendukacitakan.

Sebagai Menteri Pertahanan ketika itu, saya telah arah Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) gantung segera 32 pegawai kadet serta nilai semula sistem latihan dan pengurusan pelatih di ALK.

"Saya juga jamin tiada siapa akan dilindungi dan terlepas daripada undang-undang.

Semalam (Selasa) keadilan ditegakkan yang mana pesalah telah dijatuhi hukuman,” katanya menerusi hantaran Facebook pada Rabu.

Dalam hantaran itu, Hishammuddin turut memuat naik gambar semasa beliau melawat keluarga Allahyarham Zulfarhan beberapa hari selepas kejadian itu berlaku pada 2017.

Artikel Berkaitan:

“Semoga mereka sekeluarga terus tabah dan roh Allahyarham sentiasa dicucuri rahmat,” kata beliau.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah pada Selasa memutuskan 18 bekas penuntut UPNM didapati bersalah atas tuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan lebih empat tahun lalu.

Enam tertuduh dipenjara 18 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur setelah didapati bersalah di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan.

Seramai 12 bekas penuntut UPNM lagi dipenjara tiga tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana mencederakan mangsa.