Beli Legoland tak masuk akal, kata Mohamed Khaled

Kenyataan Jimmy di dalam Facebooknya.
Kenyataan Jimmy di dalam Facebooknya.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan cadangan kerajaan negeri untuk mengambil alih Legoland Malaysia Resort (Legoland Malaysia) sebagai tidak masuk akal.

Menurutnya, kerajaan negeri seharusnya mengurangkan berniaga dan fokus kepada meremajakan ekonomi Johor melalui kerjasama dengan sektor swasta.

“Mampukah kerajaan negeri menguruskan Legoland lebih baik daripada Khazanah Nasional?

"Sebuah laporan terbitan Bloomberg telah menyatakan harga jualan Legoland adalah sekitar RM1 bilion termasuk hutang, jika kerajaan Johor serius untuk meneruskan cadangannya itu maka perlu dilihat prestasi kewangannya sendiri dan pada masa sama bersifat telus terhadap analisa nilai pasaran Legoland,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohamed Khaled turut mempersoalkan instrumen yang mahu digunakan kerajaan negeri untuk membeli Legoland Malaysia.

“Mampukah kerajaan negeri mencukupkan duit untuk membeli Legoland tanpa membebankan lagi kewangan kerajaan negeri?

“Kerajaan Johor sepatutnya menimbangkan segenap kebarangkalian yang wujud dalam mengambil keputusan untuk membeli Legoland, sama ada dalam sudut nilai tambah pada ekonomi, masyarakat dan sektor pekerjaan,” katanya.

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, secara asasnya, apa sahaja yang terjadi selepas pembelian Legoland Malaysia adalah terletak di atas bahu kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

“Mereka perlu menentukan banyak lagi perkara selepas membeli Legoland.

"Mereka wajib memikirkan langkah proaktif untuk menggalakkan kewujudan pekerjaan baharu, merangka model kewangan yang sesuai untuk memaksimumkan untung terhadap keuntungan yang bakal diterima kerajaan negeri, dan juga mencari jalan untuk menyelesaikan hutang yang ditanggung Legoland,” katanya.

Beliau berkata, selepas 10 bulan mentadbir Johor, tiada polisi ekonomi yang ampuh direncanakan kerajaan negeri.

“Mereka sepatutnya memberi fokus untuk membangunkan inisiatif ekonomi baru bagi Johor dan bukan memberi fokus kepada cubaan tidak matang, tidak produktif dan mengarut untuk membeli Legoland,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan kenyataan Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan Dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse bahawa kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan membeli taman tema tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Legoland perlu terus beroperasi

Bagaimanapun, Jimmy yang juga ADUN Bukit Batu menerusi Facebooknya menafikan laporan media berhubung kenyataan mengenai Legoland Malaysia itu, dan menegaskan tidak pernah menyatakan Kerajaan Johor mempunyai minat membeli taman tema tersebut.