Sarawak dahului kempen penanaman 100 juta pokok

Sarawak mendahului Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di bawah program Penghijauan Malaysia dengan sejumlah 6,791,146 pokok telah ditanam sejak dilancarkan awal tahun ini. - Foto Bernama
Sarawak mendahului Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di bawah program Penghijauan Malaysia dengan sejumlah 6,791,146 pokok telah ditanam sejak dilancarkan awal tahun ini. - Foto Bernama
A
A
A

MIRI - Sarawak ketika ini sedang mendahului Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di bawah program Penghijauan Malaysia dengan sejumlah 6,791,146 pokok telah ditanam sejak dilancarkan awal tahun ini.

Pengarah Hutan Sarawak Datuk Hamden Mohammad berkata negeri itu sebenarnya bermula lebih awal sejak 2019 dengan pada tahun lepas sahaja sebanyak 10.4 juta pokok berjaya ditanam.

“Berpandukan kepada rekod itu, saya yakin kita mampu untuk menanam sebanyak 35 juta pokok yang diagihkan kepada Sarawak bagi mencapai misi 100 juta pokok walaupun dalam keadaan pandemik Covid-19 ini,” katanya pada majlis pelancaran Le Tour de Restoration Bahagian Miri di sini pada Rabu.

Berdasarkan semakan di laman web www.100jutapokok.gov.my mendapati Sabah berada di tempat kedua dengan sebanyak 4,061,492 pokok telah ditanam, diikuti Kelatan (1,894,487 pokok), Perak (1,863,029 pokok) dan Pahang (1,420,848 pokok).

Program Penghijauan Malaysia bermula daripada tahun 2021 hingga 2025 dan dilaksanakan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai pentingnya kawasan litupan hijau dan hutan untuk kesejahteraan dan kualiti hidup selain usaha untuk menambah baik ekosistem dan biodiversiti negara kita.

Ia memfokuskan penanaman pokok kebangsaan, iaitu merbau dan spesis pokok semakin pupus, manakala orang awam termasuk sektor swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) digalakkan menanam pokok berkayu dan berbatang.

Satu ekar tanah diliputi oleh pokok-pokok dengan dedaun menghijau mampu membebas gas oksigen yang boleh menampung penafasan sebanyak 18 orang selama satu tahun. -Bernama

Artikel Berkaitan: