Indeks nilai seunit eksport, import bulanan merosot pada September

Mohd Uzir
Mohd Uzir
A
A
A

INDEKS nilai seunit eksport dan import bulanan Malaysia merosot pada September 2021, masing-masing pada 0.2 peratus dan 0.5 peratus, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks nilai seunit eksport menyusut 0.2 peratus pada September 2021 berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh kejatuhan indeks minyak galian (-1.1peratus), jentera dan kelengkapan pengangkutan (-0.8 peratus) dan pelbagai barang keluaran kilang (-0.2 peratus).

“Indeks volum eksport pula meningkat 16.2 peratus pada bulan yang sama, disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (32.9 peratus), barang-barang keluaran kilang (29.2 peratus) dan jentera dan kelengkapan pengangkutan (19.2 peratus),” katanya dalam laporan Indeks Perdagangan Luar Negeri yang dikeluarkan pada Rabu.

Mohd Uzir berkata, indeks volum eksport pelarasan bermusim meningkat 15.3 peratus daripada 143.9 mata kepada 165.9 mata.

Berdasarkan perbandingan tahunan, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum eksport masing-masing meningkat 15.1 peratus dan 8.3 peratus, katanya.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, indeks nilai seunit import turut menyusut 0.5 peratus pada September 2021 berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh kejatuhan indeks minyak galian (-1.1 peratus), jentera dan kelengkapan pengangkutan (-0.8 peratus) dan bahan kimia (-0.2 peratus).

“Sebaliknya, indeks volum import meningkat 14.7 peratus pada bulan yang sama berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian (36.9 peratus), bahan-bahan mentah tidak boleh dimakan (24.3 peratus) dan jentera dan kelengkapan pengangkutan (13.3 peratus),” katanya.

Menurutnya indeks volum import pelarasan bermusim pada September 2021 mencatatkan kenaikan 17.3 peratus daripada 137.2 mata kepada 161.0 mata.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua indeks nilai seunit dan volum import masing-masing meningkat 6.6 peratus dan 18.7 peratus, berbanding tahun sebelumnya, kata Mohd Uzir.

Jabatan Perangkaan turut melaporkan terma perdagangan Malaysia yang mencatatkan pertumbuhan 0.3 peratus bulan ke bulan kepada 105.9 mata pada September 2021.

Prestasi terma perdagangan Malaysia kekal positif 7.9 peratus daripada 98.1 mata pada September tahun lepas.- Bernama