Pantau perkembangan hukuman mati tahanan Malaysia di Singapura

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Luar Negeri mengutus surat kepada Kerajaan Singapura untuk mencari jalan membantu seorang rakyat tempatan yang dijadualkan menjalani hukuman mati di negara itu pada Rabu depan akibat kesalahan penyeludupan dadah.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, beliau sendiri mengutus surat itu kepada Menteri Luar Singapura berhubung kes berkenaan.

"Kementerian Luar Negeri maklum akan pelaksanaan hukuman mati ke atas seorang tahanan warganegara Malaysia di Singapura, KD Nagaenthran yang akan dilaksanakan pada 10 November 2021.

"Saya juga menerima surat daripada organisasi Anti-Death Penalty Asia Network (ADPAN) melalui Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah yang memaklumkan pelaksanaan hukuman tersebut serta memohon supaya Kementerian Luar Negeri membangkitkan kes ini dengan pihak pemerintah Singapura," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, lelaki itu telah ditahan pihak berkuasa Singapura pada 22 April 2009 atas kesalahan penyeludupan dadah jenis diamorphine seberat 42.72 gram dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada 22 November 2010.

Jelas beliau, proses rayuan melalui mahkamah telah pun dibuat sehingga ke peringkat akhir iaitu melalui permohonan Pengampunan Presiden (Presidential Clemency).

Bagaimanapun, Saifuddin memberitahu, permohonan tersebut telah ditolak pada 1 Jun 2020.

Justeru itu, katanya, kerajaan akan terus berusaha membantu Nagaenthran dan keluarganya.

Artikel Berkaitan:

"Kementerian Luar Negeri melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura akan terus memantau perkembangan kes ini dan akan menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada Nagaenthran serta keluarga," kata beliau.