80 peratus anak muda kuasai perniagaan di Kelantan

Wan Roslan (tengah) mencuba air kopi di kafe Latte Local Baloh Jembal, Kota Bharu pada Rabu.
Wan Roslan (tengah) mencuba air kopi di kafe Latte Local Baloh Jembal, Kota Bharu pada Rabu.
A
A
A
KOTA BHARU - Golongan belia di Kelantan mendominasi bidang perniagaan di negeri ini apabila dianggarkan kira-kira 80 peratus perniagaan di Kelantan dikuasai anak muda termasuklah perniagaan kafe berasaskan air minuman kopi yang tumbuh bak cendawan sejak enam tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat menyambut positif perkara itu berkata, pihaknya amat mengalu-alukan penglibatan golongan tersebut dalam apa juga pernigaan berpotensi untuk menjana pendapatan.

Beliau turut menyifatkan golongan berkenaan sangat berani mengambil inisiatif sendiri meneroka bidang berkenaan sambil memberitahu kajian rambang turut mendapati belia Kelantan aktif menjalankan perniagaan bukan sahaja secara bersemuka malah rancak menggunakan platform dalam talian.

"Tahniah saya ucapkan kepada mereka kerana kerajaan sangat menggalakkan mereka menceburi industri perniagaan seperti mengusahakan kafe berasaskan minuman kopi dan industri-industri lain yang berpotensi,” katanya kepada pemberita di Baloh Jembal di sini pada Rabu.

Beliau sebelum itu turut merasmikan pembukaan Latte Local Baloh Jembal yang diusahakan belia tempatan, Emma Kasmuri, 36, juga penerbit filem seram komedi, Khaenak: Serangan Pocong yang ditayangkan di saluran Astro First bermula 11 November ini.

Filem terbitan KCTV Network & Broadcasting Sdn Bhd turut menerbitkan filem kegemaran ramai, Khaenak 1 & 2 yang ditayangkan di saluran YouTube pada tahun lalu.

Mengulas lanjut Wan Roslan berkata, Latte Local Baloh Jembal bakal menjadi tarikan dan tumpuan baharu bagi penggemar kopi dan masakan kampung selain menghidangkan menu istimewa iaitu ikan singgang dan ikan patin tempoyak.

“Pengunjung juga ‘disajikan’ dengan suasana kampung menerusi ruang makan di rumah tradisional dengan binaan dan seni ukiran berasaskan kayu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan melalui urusetia Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) turut mengusahakan sebuah kafe iaitu Stesen Mek Awe di Kota Bharu dalam usaha menarik minat golongan muda untuk berniaga.
Artikel Berkaitan: