AADK benarkan lawatan khas sempena Deepavali ke Puspen

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) membenarkan sesi lawatan khas keluarga atau penjaga klien yang mengikuti Program Rawatan dan Pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di seluruh negara sempena sambutan Hari Deepavali tahun ini.

AADK menerusi kenyataan pada Rabu berkata, lawatan itu dibenarkan dalam tempoh lima hari bermula pada 5 hingga 9 November 2021.

Bagaimanapun, katanya, ia dibenarkan hanya kepada pelawat yang lengkap dos vaksin bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Sesi lawatan khas secara bersemuka itu hanya dibenarkan di negeri yang berada dalam Fasa Empat PPN manakala negeri-negeri yang belum mencapai Fasa Empat PPN hanya dibenarkan pertemuan secara dalam talian.

"Setiap keluarga atau penjaga perlu membuat janji temu dengan pihak Puspen bagi mengelakkan kesesakan, melancarkan perkhidmatan AADK dan mengelakkan risiko penularan jangkitan wabak Covid-19," katanya.

Menurutnya, permohonan janji temu itu boleh dibuat menerusi pangggilan telefon, mesej pesanan ringkas (SMS), pesanan aplikasi WhatsApp, surat atau e-mel kepada pegawai pemulihan terlibat.

"Lawatan secara terus (walk-in) tidak dibenarkan sama sekali dalam tempoh pandemik ini.

"Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi Puspen berkaitan atau melayari laman web rasmi AADK di www.adk.gov.my," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, sesi lawatan keluarga itu akan memberi peluang kepada keluarga atau penjaga dan klien untuk bertemu mesra serta sebagai satu pendekatan teraputik menyokong klien untuk pulih.