Syor vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak lima hingga 11 tahun

Kanak-kanak Amerika Syarikat (AS) berusia lima hingga 11 tahun tidak lama lagi mungkin boleh mendapatkan vaksin Covid-19 dos rendah yang dihasilkan Pfizer-BioNTech. - Foto 123rf
Kanak-kanak Amerika Syarikat (AS) berusia lima hingga 11 tahun tidak lama lagi mungkin boleh mendapatkan vaksin Covid-19 dos rendah yang dihasilkan Pfizer-BioNTech. - Foto 123rf
A
A
A

NEW YORK - Kanak-kanak Amerika Syarikat (AS) berusia lima hingga 11 tahun tidak lama lagi mungkin boleh mendapatkan vaksin Covid-19 dos rendah yang dihasilkan Pfizer-BioNTech, selepas penasihat Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS pada Selasa sebulat suara bersetuju mengesyorkan suntikan kepada kumpulan umur tersebut yang berjumlah sekitar 28 juta orang.

"Sekiranya cadangan itu diluluskan pengarah CDC Dr Rochelle Walensky, seperti dijangkakan, kanak-kanak boleh mula mengambil suntikan mereka dalam beberapa hari lagi," lapor Agensi Berita Xinhua memetik National Public Radio (NPR).

Vaksin yang akan diberi itu adalah satu pertiga daripada dos dewasa dengan dua dos berselang tiga minggu. Dos lebih rendah diberikan untuk meminimumkan kesan sampingan tetapi masih menghasilkan imuniti yang kuat, kata Pfizer.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS pada Jumaat meluluskan penggunaan kecemasan vaksin kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun. FDA membenarkan 10 mikrogram dos vaksin Pfizer untuk kanak-kanak yang lebih kecil.

Dos asal yang diberi kepada kanak-kanak berumur 12 tahun ke atas adalah 30 mikrogram.

Pada Isnin, penyelaras respons Covid-19 Rumah Putih Jeffrey Zients berkata, kerajaan membeli cukup vaksin kanak-kanak dos rendah untuk semua orang dalam kumpulan umur ini.

Data terkini CDC menunjukkan bahawa 172 kanak-kanak AS berumur lima hingga 11 tahun meninggal dunia akibat Covid-19 dan lebih 8,300 dimasukkan ke hospital. - Bernama

Artikel Berkaitan: