Nelayan hilang dikhuatiri jatuh di muara sungai

Bot gentian kaca optik milik Mohd Rashid (gambar kecil) ditemui kawasan muara berdekatan rumah api dan benteng pemecah ombak kira-kira 500 meter daripada LKIM. (Gambar kecil: Mohd Rashid)
Bot gentian kaca optik milik Mohd Rashid (gambar kecil) ditemui kawasan muara berdekatan rumah api dan benteng pemecah ombak kira-kira 500 meter daripada LKIM. (Gambar kecil: Mohd Rashid)
A
A
A

PEKAN - Seorang nelayan dilaporkan hilang dikhuatiri terjatuh di muara Sungai Pahang susulan penemuan bot gentian kaca miliknya di tengah muara itu oleh nelayan lain pada petang Selasa.

Ketua Polis daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, mangsa, Mohd Rashid Nawang, 42, dari Kampung Marhum, dikatakan keluar dari rumahnya untuk menangkap ikan kira-kira jam 12 tengah hari.

"Saya difahamkan, bot milik mangsa dijumpai oleh nelayan di tengah muara Sungai Kuala Pahang dan mangsa tiada di dalam bot berkenaan kira-kira jam 2 petang.

"Usaha mencari mangsa di sekitar muara berkenan juga gagal sebelum kejadian itu dimaklumkan kepada isteri mangsa dan satu laporan polis dibuat,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tambahnya, berdasarkan maklumat diterima, bot mangsa dijumpai di kawasan muara berdekatan rumah api dan benteng pemecah ombak kira-kira 500 meter daripada jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Katanya, hasil pemerhatian juga mendapati ketika kejadian keadaan sungai dan muara berombak kuat.

"Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) telah digerakkan bermula jam 7.30 pagi ini (Rabu) membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta agensi lain,"katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zaidi berkata, mangsa bekerja sebagai nelayan sepenuh masa mempunyai lima anak berusia lima hingga 18 tahun.

Artikel Berkaitan: