Wujud keperluan tambah tenaga kerja di Selangor

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri memandang serius dan sentiasa memberikan keutamaan terhadap fungsi dan peranan Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor ditubuhkan sejak 1 April 2018 bagi memantapkan fungsi dan peranan jabatan berkenaan.

“Hal ini kerana menjadi keperluan untuk ditambahkan kekuatan sumber manusia kerana setakat ini Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor hanya ada empat pegawai yang mengendalikan kes di empat Mahkamah Tinggi Syariah dan sembilan penolong pegawai di 12 Dewan Mahkamah Rendah Syariah di sembilan daerah.

“Perjawatan di Wilayah Persekutuan lebih baik apabila semua kes di Mahkamah Rendah Syariah dan Mahkamah Tinggi Syariah dikendalikan oleh pegawai.

“Di Labuan ada seorang pegawai manakala di Kuala Lumpur dan Putrajaya pula beberapa orang pegawai mengikut kes dan dewan yang ditetapkan,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Mohd Zawawi berkata, dari segi bidang kuasa Ketua Pendakwa Syarie adalah jelas sebagaimana peruntukan Seksyen 78 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 dan Seksyen 181 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor 2003.

Selain itu, beliau berkata, Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor juga baru selesai mengemukakan draf cadangan pindaan Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 kepada penasihat undang-undang dan Majlis Agama Islam Selangor untuk penelitian.

“Dalam masa sama, Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor juga sedang menyediakan draf pindaan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor 2003 dan Seksyen 78 Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2003,” katanya.

Artikel Berkaitan: