Moderna tangguh suntik remaja

Suntikan vaksin Moderna ditangguhkan kepada remaja.
Suntikan vaksin Moderna ditangguhkan kepada remaja.
A
A
A

FIRMA bioteknologi Amerika Syarikat (AS), Moderna berkata, Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) telah menangguhkan kelulusan penggunaan vaksin Covid-19 terhadap remaja bagi memberi masa menilai risiko miokarditis atau keradangan jantung.

FDA pada Jumaat memaklumkan kepada Moderna bahawa agensi tersebut memerlukan masa untuk menilai analisis antarabangsa mengenai risiko miokarditis selepas vaksinasi.

Syarikat itu berkata, penilaian bagi mengesyorkan vaksin Moderna untuk kanak-kanak berumur 12 hingga 17 tahun boleh berlarutan sehingga Januari 2022.

Miokarditis dan risiko yang berkaitan, perikarditis (keradangan di sekitar jantung) sebelum ini dikaitkan dengan vaksin Pfizer dan Moderna terutama dalam kalangan remaja lelaki dan lelaki muda.

Namun, risiko terbabit menjadi tinggi selepas jangkitan Covid-19, menurut satu kajian yang diterbitkan pada Ogos oleh Pusat Kawalan Pencegahan Penyakit (CDC) AS.

Tambahnya, CDC mendapati bahawa miokarditis sejurus divaksin dengan vaksin mRNA jarang berlaku.

Sementara itu, vaksin mRNA Covid-19 oleh Pfizer-BioNTech telah menerima kelulusan untuk disuntik kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun dengan dos kecil berbanding orang dewasa.

Sebelum ini, Moderna menunggu kelulusan FDA sama ada ia diluluskan atau tidak terhadap individu berumur 18 tahun. - AFP

Artikel Berkaitan: