Air pasang besar bukan pesta tahunan

No Image Caption
A
A
A

SESEKALI mendongak melihat awan mendung, cuaca mula berubah, angin bertiup menandakan hujan akan turun.

Keadaan hujan sejak beberapa hari lalu akibat peralihan monsun sedikit sebanyak membimbangkan walaupun belum ada kawasan dilanda banjir di Johor setakat ini.

Fenemona air pasang besar yang biasanya berlaku hujung tahun menambah lagi kerisauan terjadinya banjir kilat terutama di kawasan penempatan berdekatan laut dan pantai.

Maklum sahajalah banyak kawasan di negeri ini terletak berdekatan kawasan persisiran pantai dan laut iaitu Pontian, Batu Pahat, Muar, Johor Bahru, Mersing dan Kota Tinggi.

Kejadian air pasang besar merupakan fenomena biasa, dipengaruhi daya graviti matahari dan bulan yang menjadi penentu utama kepada proses pasang surut air laut.

Berdasarkan laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), fenomena air pasang besar dijangka melanda Kedah, Perak, Selangor dan Johor selama empat hari mulai esok.

Antara kawasan terlibat di Kedah ialah Kuala Muda; Perak (Bagan Datuk); Selangor (Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor) serta Johor (Batu Pahat dan Pontian).

Fenomena tersebut dibimbangi akan menjadi lebih buruk jika disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat serentak.

Artikel Berkaitan:

Justeru, penduduk di kawasan pesisir pantai dinasihatkan supaya berwaspada berdepan fenomena air pasang, selain sentiasa memantau keadaan cuaca semasa.

Bagi penduduk di kawasan pesisir pantai seperti di Kukup, Pontian, mereka sememangnya maklum dengan amaran fenomena air pasang besar yang akan berlaku kerana kebanyakan penduduk bekerja sebagai nelayan.

Kejadian banjir cukup merisaukan bagi penduduk di situ walaupun fenomena air pasang besar berlaku setiap penghujung tahun.

Rata-rata mereka telah pun melakukan persiapan seperti meletakkan dokumen penting di tempat selamat dan sentiasa memantau keadaan hujan terutama pada sebelah malam.

Begitu juga pelbagai agensi kerajaan seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat turut bersiap sedia.

Pemindahan penduduk yang terjejas banjir akan segera dilakukan ke pusat penempatan sementara mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelak jangkitan Covid-19 kepada mangsa banjir.

Namun, ada perkara lain yang merisaukan penduduk iaitu kehadiran orang luar yang teruja mahu menyaksikan fenomena air pasang besar di Kukup.

Maklum sahajalah Khamis adalah cuti umum kerana sambutan Deepavali, manakala Jumaat dan Sabtu adalah cuti hujung minggu di Johor.

Pastinya berita yang tersebar tentang fenomena air pasang besar melalui media sosial akan menggamit tumpuan orang ramai menyaksikan fenomena air pasang besar.

Bagi penduduk di Kukup, mereka sudah biasa dengan fenomena air pasang besar tetapi sebaliknya pula bagi orang luar.

Justeru, orang ramai diingatkan agar tidak menjadikan fenomena air pasang besar sebagai pesta untuk berkumpul di tepi pantai bagi melihat keadaan ombak.

Ini kerana keadaan ombak yang kuat dan tinggi boleh berlaku tanpa dijangka, sekali gus dibimbangi mengundang kejadian yang tidak diingini.

Apa pun, anggota bomba dan penyelamat sudah mula meningkatkan rondaan dan pemantauan ketika air pasang surut di kawasan pantai sebagai persediaan menghadapi air pasang besar.

Fenomena tersebut sememangnya tidak dapat dielakkan, namun sekiranya langkah-langkah awal diambil terutama berkaitan dengan persiapan menghadapi banjir, kesan dan impaknya mungkin boleh dikawal atau dielakkan.

Ingatlah, fenomena air pasang besar bukanlah satu pesta dan acara tahunan.

Kepada penduduk yang tinggal berdekatan dengan kawasan pantai, sentiasalah peka dan mengikuti perkembangan terkini termasuk amaran yang dikeluarkan oleh pihak berkaitan.

* Nor Azura Md Amin ialah wartawan Sinar Harian Johor