Ka Siong tidak sekat kemasukan pelabur asing melalui dasar kabotaj

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong
Datuk Seri Dr Wee Ka Siong
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mempertahankan pelaksanaan dasar kabotaj terhadap kapal asing yang terlibat dalam pembaikan kabel internet dasar laut di negara ini.

Menurutnya, dasar itu bukanlah bertujuan untuk menyekat kemasukan pelabur asing, sebaliknya demi memelihara kedaulatan negara, selain melindungi industri perkapalan tempatan.

Malah katanya, terdapat 90 negara di dunia yang telah mengamalkan dasar kabotaj.

“Malaysia telah mulakan dasar ini pada tahun 1980 dan kini sudah lebih daripada 40 tahun. Kalau dibuat perbandingan secara serantau, lihatlah negara-negara ASEAN yang melaksanakan dasar kabotaj.

“Ini adalah untuk mengelak daripada satu keadaan, di mana kita tak mahu melihat ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’. Sebab itu, kita kena menjaga kepentingan rakyat tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam debat bertajuk Dasar Kabotaj Negara, yang menampilkannya bersama Lim Guan Eng (Ahli Parlimen Bagan) yang disiarkan secara langsung di stesen media tempatan pada malam Selasa.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, semasa zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH), kerajaan ketika itu telah memulakan satu proses, dengan memberi pengecualian kepada cuma pada satu segmen iaitu pembaikan untuk kabel dasar laut dan perlu menunggu masa yang begitu panjang iaitu 45 hari.

“Setelah saya mengambil alih sebagai Menteri Pengangkutan, saya telah menggunakan segala maklumat yang ada dan kita telah menambah baik dari segi aplikasi.

Artikel Berkaitan:

“Dulu, mereka menghantar semua melalui surat tapi kini atas talian iaitu ‘elektronik domestic shipping licenses (eDSL), yang dipohon cuma dalam tempoh tiga hari saja. Saya maklum, untuk yang terkini kita hanya menggunakan satu hari hingga tiga hari berbanding sebelum ini sampai 45 hari.

“Saya melihat perkara ini kita dah tambah baik sistem kita dan kelewatan itu dapat kita selesaikan masalah dengan cara yang lebih canggih, lebih baik dan kita mengimbanginya untuk negara dari segi kedaulatan dan juga kita melihat kepentingan kapal-kapal asing,” jelasnya.

Ujar beliau, apa yang penting adalah soal kedaulatan negara kerana kapal asing yang datang ke sini boleh masuk dahulu sebelum ini, berbanding sekarang, mereka tidak boleh masuk kecuali mendapat kebenaran dalam tempoh tiga hari.

Tegasnya, tempoh itu adalah begitu singkat sekali dan bukannya untuk menyusahkan semua pihak.

Sementara itu katanya, Syarikat Apricot mempunyai rancangan baru untuk membawa satu kabel bernama ‘Asia Cable Express’ ke Malaysia melalui Sabah dan Sarawak.

“Apakah ini tidak menguntungkan? Ini agenda MyDigital yang kita idam-idamkan. Sebab itu MOT (Kementerian Pengangkutan) rasa tepat untuk kita membawa pelaburan masuk.

“Saya akan bawa mereka berjumpa dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk kita.

“Kata orang, kita akan buat sampai kata putus yang paling cepat. Kita beri sokongan pada mereka, sebab itu janganlah menuduh, ini bukti kita tidak mengekang pelaburan asing,” tegasnya.