QS-AUR 2022: Universiti Malaya kini lapan terbaik

Universiti Malaya (UM) kini menduduki tempat kelapan dalam Ranking Universiti Quacquarelli-Symonds (QS): Asia (QS-AUR) 2022, naik satu kedudukan berbanding tahun lepas.- Foto 123rf
Universiti Malaya (UM) kini menduduki tempat kelapan dalam Ranking Universiti Quacquarelli-Symonds (QS): Asia (QS-AUR) 2022, naik satu kedudukan berbanding tahun lepas.- Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Universiti Malaya (UM) kini menduduki tempat kelapan dalam Ranking Universiti Quacquarelli-Symonds (QS): Asia (QS-AUR) 2022, naik satu kedudukan berbanding tahun lepas.

UM dalam satu kenyataan pada Selasa menyatakan, kejayaan ini menyaksikan universiti itu memperbaiki kedudukannya berbanding tahun lepas selepas buat pertama kalinya berjaya menjadi antara 10 universiti Asia terbaik buat pertama kali sejak penganugerahan QS-AUR pada 2009.

Universiti itu secara konsistennya memperbaiki prestasinya lebih 30 tempat sejak 11 tahun lepas dan kekal sebagai universiti terbaik negara dan ketiga terbaik antara universiti ASEAN. Menurut QS, universiti itu berada antara dua peratus terbaik daripada ranking 687 universiti Asia dalam QS-AUR 2022.

“UM terbaik dalam kalangan universiti Asia untuk indikator rangkaian penyelidikan antarabangsa buat tahun ketiga berturut-turut. Antara indikator lain termasuklah UM telah memperbaiki kedudukan dalam reputasi kakitangan, reputasi akademik dan kakitangan dengan PhD.

“Perkara yang memerlukan perhatian pula termasuklah kemasukan pelajar pertukaran, pergerakan keluar pelajar pertukaran, pelajar antarabangsa, fakulti antarabangsa, petikan untuk setiap penyelidikan, fakulti- pelajar, dan jumlah kertas penyelidikan setiap fakulti,” menurut kajian tersebut.

UM juga berkedudukan terbaik antara 36 universiti Malaysia yang berada dalam QS-AUR 2022 dalam reputasi akademik, reputasi pekerja, petikan untuk kertas kajian dan indikator rangkaian penyelidikan antarabangsa.

Sementara itu Naib Canselor UM, Datuk Profesor Mohd Hamdi Abd Shukor berkata, universiti itu kini berusaha untuk meneroka pilihan global lain untuk kerjasama penyelidikan yang akan menyumbang kepada impak global yang lebih kukuh.

“Kami merancang untuk meneroka wilayah Afrika dan Latin Amerika di mana di sana mempunyai banyak peluang untuk kerjasama penyelidikan seperti penyakit berjangkit, kemiskinan dan kajian pembangunan selain pembinaan kapasiti. Kami telahpun menubuhkan Pusat Penyelidikan Utara-Selatan UM (UMNSRC).

Artikel Berkaitan:

“UMNSRC adalah sebuah pusat memfokuskan kepada kajian perbandingan berkaitan isu ekonomi, politik, sosial dan kebudayaan di seluruh dunia. Terdapat empat pusat di bawah UMNSRC, dua daripadanya ialah Pusat Pengajian Latin Amerika (CLAS) dan Rangkaian Universiti Pembangunan Afrika-Asia (AADUN),” katanya.

UM juga berbangga dengan pelantikan Datuk Prof Dr Adeeba Kamarulzaman dari Fakulti Perubatan sebagai ahli majlis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebuah Kumpulan Penasihat Saintifik peringkat tinggi yang akan bertindak sebagai suara kepimpinan sainstifik danakan menasihatkan tentang kemajuan sains dan teknologi yang akan memberikan kesan langsung terhadap kesihatan dunia. - Bernama