Tottenham Hotspur pilih Conte ganti Nuno

Antonio Conte. - Foto AFP
Antonio Conte. - Foto AFP
A
A
A

KELAB Liga Perdana Inggeris (EPL), Tottenham Hotspur mengumumkan pelantikan Antonio Conte sebagai pengurus The Lilywhites sehingga 2023, sehari selepas pemecatan pengendali dari Portugal, Nuno Espirito Santo.

"Kami mengumumkan pelantikan Antonio Conte sebagai ketua jurulatih dengan kontrak sehingga 2023 serta pilihan lanjutan," kata kelab itu dalam satu kenyataan.

Bekas bos Chelsea dan Inter Milan itu menggantikan Nuno yang dipecat pada Isnin selepas 17 perlawanan, dengan kekalahan 3-0 di tempat sendiri oleh Manchester United pada Sabtu dalam perlawanan terakhirnya bersama kelab utara London tersebut.

Imbas kembali... Conte ketika mengendali Chelsea pada 2018. - Foto AFP
Imbas kembali... Conte ketika mengendali Chelsea pada 2018. - Foto AFP

Pengendali berusia 52 tahun yang tidak mengendalikan sebarang kelab sejak Mei lalu apabila menamatkan kontraknya di Inter selepas tidak berpuas hati dengan rancangan kelab itu untuk mengurangkan pelaburan dan kos selepas menjulang kejuaraan Serie A pertama dalam tempoh 11 tahun.

"Saya sangat gembira untuk kembali ke kejurulatihan, dan berbuat demikian di kelab Liga Perdana yang mempunyai cita-cita untuk menjadi protagonis (dalam pemburuan kejuaraan) sekali lagi.

“Saya tidak sabar untuk mula bekerja untuk menyampaikan kepada kelab dan peminat semangat, mentaliti dan keazaman yang sentiasa membezakan saya, sebagai pemain dan sebagai jurulatih,” kata Conte dalam satu kenyataan.

Tottenham yang memimpin saingan liga pada Ogos di bawah Nuno selepas memenangi tiga perlawanan pembukaan tetapi kini berada di kedudukan kesembilan, 10 mata di belakang pendahulu Chelsea selepas 10 perlawanan dan lima mata dari slot kelayakan Liga Juara-Juara.

Artikel Berkaitan:

Tugasan pertama Conte di Stadium Tottenham Hotspurs adalah mengemudi The Lilywhites menentang Vitesse Arnhem bagi perlawanan kumpulan G Liga Konferensi Europa awal pagi Jumaat.