PLANMalaysia terima pengiktirafan MBOR

Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) hari ini menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records di atas kejayaan menyediakan Pelan Guna Tanah Terpantas bagi Bandar Kuala Kubu Bharu (KKB) dengan konsep ‘Daripada Bandar Taman kepada Bandar Taman Pintar’, dalam tempoh satu jam. - Foto Facebook PLANMalaysia
Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) hari ini menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records di atas kejayaan menyediakan Pelan Guna Tanah Terpantas bagi Bandar Kuala Kubu Bharu (KKB) dengan konsep ‘Daripada Bandar Taman kepada Bandar Taman Pintar’, dalam tempoh satu jam. - Foto Facebook PLANMalaysia
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) hari ini menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) di atas kejayaan menyediakan Pelan Guna Tanah Terpantas bagi Bandar Kuala Kubu Bharu (KKB) dengan konsep ‘Daripada Bandar Taman kepada Bandar Taman Pintar’, dalam tempoh satu jam.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan pada Selasa berkata, sijil pengiktirafan tersebut disampaikan oleh Perunding Kanan (Rekod) MBOR Siti Hajar Johor kepada Ketua Pengarah PLANMalaysia Dr Shamsaini Shamsuddin dan disaksikan Ketua Setiausaha KPKT Datuk M Noor Azman Taib.

PLANMalaysia merupakan sebuah jabatan di bawah KPKT yang memainkan peranan memberi khidmat nasihat kepada kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan berhubung perancangan kegunaan, pembangunan serta pemeliharaan tanah yang sempurna.

KPKT berkata, Pelan Guna Tanah Terpantas itu disediakan oleh 20 peserta terdiri daripada pegawai PLANMalaysia dan Majlis Perbandaran Hulu Selangor yang berkemahiran menggunakan perisian Quantum GIS (QGIS).

“Kesemua peserta terbabit menerapkan elemen bandar pintar seperti lampu jalan pintar, kamera litar tertutup (CCTV) pintar, tong sampah pintar dan lampu isyarat pintar. Mereka juga berjaya mengemas kini semua lot kadaster Bandar KKB seluas 1,592.16 hektar melibatkan 6,106 lot secara serentak,” kata KPKT.

Menurut KPKT, penyediaan pelan guna tanah tersebut memberi fokus kepada Bandar KKB yang merupakan bandar baharu pertama di Tanah Melayu yang telah dirancang oleh perancang bandar pertama Tanah Melayu iaitu Charles Compton Reade pada 1924.

Selain itu, ia turut menerapkan konsep Bandar Dalam Taman yang diperkenalkan Perancang Bandar Britain dan pengasas Garden City Movement Sir Ebenezer Howard pada 1890. -Bernama

Artikel Berkaitan: