Tekun tawar pinjaman kepada pengedar produk mula perniagaan

Noh (tengah) melawat kilang produk tenusu Summerfield di Serendah pada Selasa.
Noh (tengah) melawat kilang produk tenusu Summerfield di Serendah pada Selasa.
A
A
A

SERENDAH - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bersedia menawarkan pinjaman menerusi agensinya, Tekun Nasional (Tekun) kepada pengedar produk Summerfield untuk dijadikan modal bagi memulakan perniagaan mereka.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, pinjaman itu akan disalurkan menerusi syarikat induk yang sebelum itu perlu memastikan hanya mereka yang layak menjadi ejen dan mendapatkan pinjaman.

"Kita akan bagi pinjaman melalui syarikat induk dan syarikat induk akan bertanggungjawab memastikan bahawa mereka yang layak menjadi ejen syarikat mendapat pinjaman dan syarikat ini juga bertanggungjawab untuk mengutip semula pembiayaan yang diberikan.

"Jadi, terpulang kepada syarikat sama ada mahu memotong komisen atau sebagainya (bagi pembiayaan pinjaman)," katanya selepas melancarkan Program Pembangunan Usahawan Summerfield di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang berkata, pendekatan tersebut merupakan satu kaedah baharu untuk Tekun menyalurkan pinjaman kepada kumpulan usahawan mikro atau informal.

Menurutnya, jumlah pinjaman pula bergantung kepada keperluan syarikat berdasarkan jumlah ejen atau pengedar produk yang diperlukan oleh sesebuah syarikat yang membuat permohonan.

"Misalnya, katalah sebuah syarikat ingin lahirkan 1,000 pengedar (produk) dan setiap orang mungkin perlukan RM5,000 (pinjaman perniagaan) ini bermakna syarikat itu memerlukan RM5 juta.

"Pinjaman RM5 juta ini, Tekun boleh simpankan tetapi cara kita hendak berikan (pinjaman) tidak boleh sekali bagi RM5 juta sebaliknya kita bagi bergantung kepada berapa jumlah yang diperlukan.

Artikel Berkaitan:

"Katalah dia (syarikat) perlu 100 (pengedar) kita bagi RM500,000 (pinjaman) andainya perlu lagi 100 orang kita bagi lagi RM500,000," katanya

Beliau berkata, pinjaman tersebut bagaimanapun tidak diberikan terus kepada ejen atau pengedar produk tetapi kepada syarikat dan syarikat terbabit pula bertanggungjawab untuk mengutip semula pinjaman yang diberikan.

"Jadi ini bermakna semua pihak berada dalam situasi menang menang, kita tolong syarikat, syarikat juga kena tolong kita kerana syarikat tahu siapa yang dilantik dan sesiapa yang lari (daripada membayar pinjaman).

"Syarikat kena cari untuk pastikan pinjaman dapat dibayar semula kepada kita, ini pendekatan baharu yang kita buat," katanya.