X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

Pemain industri perlu manfaatkan Dana Jaminan Makanan RM210 juta

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (tengah) bergambar selepas Majlis Mempromosikan Dana Modenisasi Rantaian Nilai, Pemodenan Vesel dan Mekanisasi Tangkapan di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang hari ini.- Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Pemain industri dalam sektor perikanan dan pertanian perlu memanfaatkan Dana Jaminan Makanan (DJM) 2021 berjumlah RM210 juta sebelum hujung tahun ini memandangkan masih terdapat peruntukan itu yang belum diguna pakai.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kemudahan pembiayaan di bawah dana melibatkan dua program itu ialah langkah intervensi MAFI untuk mempermudah akses kepada pembiayaan bagi usahawan di seluruh rantaian nilai agromakanan dengan kadar pembiayaan menarik dan berisiko rendah.

"Setakat ini, 223 vesel perikanan diperakukan untuk mendapatkan dana bagi Program Pemodenan Vesel dan Mekanisasi Tangkapan yang berjumlah RM150 juta. Kesemua dana bagi 223 vesel itu ialah RM51 juta.

"Dana ini akan berjalan sehingga habis RM210 juta (bagi dua program) atau sebelum penghujung tahun ini. Ada banyak lebihan. Dalam tempoh dua bulan, kami harap ia akan dimanfaatkan pemain industri," katanya selepas majlis mempromosikan Dana Modenisasi Rantaian Nilai, Pemodenan Vesel dan Mekanisasi Tangkapan di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang di sini pada Isnin.

Menurutnya, inisiatif itu juga membuka peluang kepada nelayan tempatan untuk menaik taraf dan memodenkan vesel dari aspek keselamatan dan peningkatan kualiti hasil tangkapan.

Ronald berkata, menerusi Program Modenisasi Rantaian Nilai Agromakanan dengan dana RM60 juta, usahawan di sepanjang rantaian nilai agromakanan boleh mendapatkan kemudahan pembiayaan untuk perolehan peralatan dan teknologi berteraskan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) berjumlah sehingga RM1 juta pada kadar 3.5 peratus setahun bagi tempoh sehingga 10 tahun.

Beliau berkata, antara teknologi berteraskan IR 4.0 yang menjadi fokus dalam sektor agromakanan meliputi teknologi sensor, robotik, dron dan blok rantai (blockchain) yang merupakan elemen bagi konsep pertanian pintar.

Hadir sama, kedua-dua timbalannya, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh serta Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!