Masing telah kukuhkan PRS, tiada masalah hadapi PRN Sarawak

Abdul Karim. - Foto fail Bernama
Abdul Karim. - Foto fail Bernama
A
A
A

KUCHING - Parti Rakyat Sarawak (PRS) tidak akan menghadapi masalah besar untuk menumpukan perhatian mereka dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak akan datang (PRN12), biar pun baharu kehilangan Presiden mereka, Tan Sri Dr James Jemut Masing yang meninggal dunia Ahad lepas.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah pada Selasa berkata, PRS telah menjadi sebuah parti yang kuat, dan diurus dengan baik di bawah pimpinan mendiang Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak.

“Mendiang (Masing) telah berjaya mendidik ramai pemimpin yang bagus dalam PRS dan dengan pemergian beliau sudah pasti ada seorang presiden baharu (yang mampu menggantikan beliau),” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian insentif kepada dua atlet paralimpik negara Bonnie Bunyau Gustin dan Jong Yee Khie di sini pada Selasa.

Abdul Karim berkata, mendiang Masing merupakan seorang pemimpin yang tegas dan sangat fokus, yang sentiasa bersuara mempertahankan kebajikan dan hak Sarawak dan rakyat, termasuk hak Tanah Adat Bumiputera (NCR).

“Saya tidak pernah melihat beliau meninggikan suara, tetapi tegas dalam menghuraikan pandangan mengenai sesuatu isu. Beliaulah anak Sarawak sejati yang sangat komited kepada Sarawak, dan beliau sentiasa memperjuangkan hak-hak Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Abdul Karim berkata, perhimpunan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dijadualkan pada 7 November ini di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) dibatalkan, atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang khuatiri boleh menyebabkan jangkitan Covid-19 kerana kehadiran delegasi yang ramai.

Katanya, GPS akur kepada arahan KKM itu, dan menunjukkan GPS lebih mengutamakan kebajikan dan keselamatan rakyat.

GPS yang ditubuhkan pada 2018, merupakan gabungan empat parti tempatan Sarawak yang melibatkan PBB, PRS, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), yang menubuhkan kerajaan Sarawak sejak pilihan raya negeri terakhir pada 2016. - Bernama

Artikel Berkaitan: