X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Siti Bainun gagal lagi dapatkan hak jagaan anak angkat

Siti Bainun - Sinar Harian
A
A

KUALA LUMPUR - Pemilik Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali gagal lagi dalam permohonannya untuk mendapatkan hak jagaan seorang anak angkatnya berusia dua tahun selepas Mahkamah Majistret di sini pada Selasa memerintahkan kanak-kanak lelaki itu diserahkan kepada ibu kandungnya.

Peguam, Nurainie Haziqah Shafi’i yang mewakili ibu kandung warga tempatan berusia 21 tahun berkata, Majistret Norfarahain Roslan memerintahkan hak penjagaan bagi kanak-kanak berkenaan diberikan kepada ibu kandungnya selepas meneliti laporan yang disediakan pegawai pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Hak penjagaan bagi kanak-kanak itu diberikan kepada ibu kandungnya, namun beliau masih terikat dengan tempoh pengawasan pihak JKM selama tempoh dua tahun yang diperintahkan mahkamah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding pendengaran permohonan itu yang bermula jam 9.30 pagi dan berakhir lewat jam 5.30 petang.

Ketika ditanya berkenaan tempoh pengawasan dua tahun yang diperintahkan mahkamah, Nurainie berkata, ia bermakna pihak JKM pada bila-bila masa boleh membuat pemeriksaan mengejut terhadap ibu kandung tersebut.

Menurut peguam itu, kanak-kanak berkenaan telah diserahkan kepada Siti Bainun untuk jagaan selepas dilahirkan.

Sementara itu, seorang lagi peguam yang mewakili ibu kandung tersebut, Muhammad Hafiz Hood berkata,. pendengaran bagi permohonan hak penjagaan tiga lagi kanak-kanak, yang kini di bawah jagaan JKM akan bersambung pada 16 November ini.

Pada prosiding tersebut, Siti Bainun diwakili peguam Nur A’minahtul Mardiah Mohd Nor.

Pada 2 Ogos lepas, Siti Bainun dan empat ibu kandung memfailkan permohonan melalui notis secara bersama di Mahkamah Majistret di sini, memohon perintah jagaan sementara terhadap lima kanak-kanak yang diberikan kepada beberapa rumah jagaan di bawah JKM pada 16 Julai 2021 dibatalkan serta-merta di bawah Seksyen 30 (13) (c) Akta Kanak-Kanak 2001.

Siti Bainun dan empat ibu kandung itu memfailkan permohonan tersebut dengan menamakan JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai responden. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!