Sisa kimia: 'Bau macam getah tayar'

HARRY MARTIN (kiri) dan INTISAAR.
HARRY MARTIN (kiri) dan INTISAAR.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tekak loya disusuli dengan muntah akhirnya memaksa seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Pasir Putih, Pasir Gudang untuk terus mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) malam kelmarin.

Menurut Intisaar Nazihah Mohd Nazri, 16, keadaan itu mula dirasai dirinya sejak petang hari kejadian, sebelum pergi ke HSI pada jam 10.30 malam untuk mendapatkan rawatan.

"Mula-mula tiada apa, tetapi bila dah lewat petang tekak saya rasa loya hingga muntah, sebelum ibu bawa ke hospital kira-kira jam 10.30 malam.

"Jam 1.30 pagi saya dimasukkan ke wad dan sehingga kini doktor memaklumkan saya masih belum dibenarkan pulang," katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.

Berkongsi pengalamannya pada hari kejadian, Intisaar berkata, mulanya lebih memikirkan keadaan adiknya, Insyierrah Nazirah, 11, yang berada di sekolah bersebelahan sehingga tidak merasai sebarang kesan awal.

"Masa hari itu, saya ke sekolah dengan adik seperti biasa.

"Masa belajar itu tiba-tiba ada bau minyak yang kuat, dan cikgu panggil kami berkumpul," ceritanya.

Katanya, ketika semua berkumpul, dia melihat dua kawannya sudah terbaring, ada yang pengsan.

Artikel Berkaitan:

"Cikgu benarkan kami balik semua balik awal, dan saya tunggu adik saya, risau apa-apa jadi pada dia.

"Mujur dia selamat. Saya ingat kami semua tak kena apa-apa, tapi malam benda ini berlaku kepada saya pula," katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Harry Martin Ebom, 17, berkata, ketika kejadian, dia berada dalam kelas Pendidikan Jasmani (PJ) yang kemudiannya terhidu bau yang kuat sebelum mengalami sesak nafas dan terus dibawa ke HSI.

"Saya dah bau ni dari rumah, kuat macam getah tayar.

"Jadi bila mula kelas PJ, kami nak keluar ke padang tiba-tiba cikgu maklumkan suruh berkumpul, di situlah saya mula rasa susah bernafas," katanya.