JPJ urus 33.05 juta kenderaan, 14.32 juta pemandu

Zailani (tengah) dan Penolong Gabenor Bank Negara Abu Hassan Alshari Yahya (kanan) menunjukkan duit syiling kenangan ulang tahun ke-75 JPJ selepas melancarkannya hari ini. Foto Bernama
Zailani (tengah) dan Penolong Gabenor Bank Negara Abu Hassan Alshari Yahya (kanan) menunjukkan duit syiling kenangan ulang tahun ke-75 JPJ selepas melancarkannya hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menguruskan kira-kira 33.05 juta kenderaan sepanjang 75 tahun penubuhannya, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim.

Pada majlis pelancaran duit syiling kenangan Ulang Tahun ke-75 JPJ di sini pada Selasa, Zailani berkata, JPJ juga telah menguruskan kira-kira 14.32 juta pemandu dalam tempoh yang sama.

Menyingkap penubuhan JPJ pada majlis itu, Zailani berkata, sejak mula beroperasi pada 1 April 1946 sebagai pendaftar dan pemeriksa kereta motor atau dahulunya dikenali sebagai RIMV (Registrar Inspection Motor Vehicle) JPJ telah menyediakan pelbagai perkhidmatan berkualiti, menguruskan pungutan hasil serta menguatkuasakan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pegawai Eskekutif Bahagian Korporat dan Perancangan Strategik JPJ Carrey Staun menunjukkan duit syiling kenangan ulang tahun ke-75 JPJ selepas majlis pelancarannya hari ini. Foto Bernama
Pegawai Eskekutif Bahagian Korporat dan Perancangan Strategik JPJ Carrey Staun menunjukkan duit syiling kenangan ulang tahun ke-75 JPJ selepas majlis pelancarannya hari ini. Foto Bernama

Pada 2020, katanya, JPJ menyumbang kira-kira RM4.2 bilion kepada negara melalui kutipan hasil.

Zailani menyifatkan duit syiling kenangan itu sebagai simbolik yang melambangkan JPJ sentiasa dinamik bergerak ke arah pemodenan dan digitalisasi selaras dengan tema sambutan ulang tahun ke-75 iaitu "Digitalisasi Melestari Integriti".

Beliau berkata, Bajet 2022 yang dibentangkan pada Jumaat lepas meluluskan perolehan 20 unit kenderaan kaunter Mobile JPJ dan 100 kiosk dengan fasiliti lengkap komputer berorientasikan pelanggan bagi memacu hasrat JPJ ke arah pendigitalan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

"Dalam usaha memastikan kualiti perkhidmatan yang diberikan sentiasa melangkaui harapan masyarakat, JPJ hendaklah sentiasa pantas bertindak, mempunyai dasar yang fleksibel serta mampu menyediakan berbagai pilihan saluran perkhidmatan yang terbaik untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: