Bursa Malaysia ditutup kukuh

No Image Caption
A
A
A

BURSA Malaysia ditutup kukuh hari ini susulan aktiviti membeli saham berharga rendah apabila para pelabur mengumpul saham yang jatuh selepas penurunan mendadak pada Isnin, kata para peniaga.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.71 mata kepada 1,537.63 daripada paras penutup 1,530.92 pada Isnin.

Indeks itu yang dibuka tinggi naik 1.29 mata kepada 1,532.21, turun naik antara paras 1,532.21 dan 1,544.0 sepanjang hari dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 629 berbanding 404, manakala 434 kaunter tidak berubah, 808 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.65 bilion unit bernilai RM2.71 bilion daripada 3.47 bilion unit bernilai RM3.23 bilion pada Isnin.

Seorang peniaga berkata Bursa Malaysia kekal positif sejak dibuka pada pagi ini seiring dengan prestasi kukuh di Wall Street semalaman yang menyaksikan pasaran Amerika Syarikat (AS) itu berlegar di sekitar paras tertinggi berikutan keyakinan terhadap keputusan pendapatan korporat yang baik dan kenaikan saham tenaga dan Tesla.

“Prestasi bursa tempatan menongkah arus berbanding aliran serantau yang kebanyakannya ditutup rendah apabila para pelabur kekal berhati-hati menjelang keputusan dasar oleh Rizab Persekutuan AS pada Rabu serta bank pusat utama lain bagi mencari hala tuju pasaran seterusnya,” katanya.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata peningkatan indeks petunjuk pasaran Bursa Malaysia itu disokong terutamanya oleh saham wajaran tinggi perbankan dan perjudian.

Artikel Berkaitan:

“FBM KLCI nampaknya mendapat sokongan baik pada paras 1,520 hingga 1,530, justeru kami menjangkakan pembelian saham berharga rendah akan berterusan terutamanya saham mewah yang mana penilaian ketika ini berada pada paras menarik.

“Walaupun kemudahubahan yang meningkat, kami menjangkakan indeks itu bergerak antara paras 1,530 dan 1,560 bagi tempoh hari dagangan berbaki minggu ini. Dari sudut pandangan teknikal, kami menjangka paras sokongan pada 1,520 dan paras ketahanan pada 1,565,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat serantau, Nikkei 225 Jepun turun 0.43 peratus kepada 29,520.90, Indeks Straits Times Singapura menokok 0.39 peratus kepada 3,231.51, dan Kospi Korea Selatan naik 1.16 peratus kepada 3,013.49, manakala Indeks Hang Seng Hong Kong turun 0.22 peratus kepada 25,099.67.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Petronas Chemicals susut tujuh sen kepada RM8.28, IHH Healthcare turun dua sen kepada RM6.46, manakala Maybank, Public Bank dan Tenaga semuanya tidak berubah masing-masing pada RM7.99, RM4.04 dan RM9.60.

Dalam kalangan kaunter cergas, Dagang NeXchange meningkat 5.5 sen to 82.5 sen, Top Builder susut tiga sen kepada 2.5 sen dan AirAsia X jatuh dua sen kepada 5.5 sen, manakala kedua-dua Kanger International dan Ta Win tidak berubah masing-masing pada empat sen dan 15.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengukuh 68.32 mata kepada 11,398.49, Indeks FBMT 100 naik 57.52 mata kepada 11,017.02, FBM 70 menambah 115.51 mata kepada 15,085.30, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 91.52 mata kepada 12,457.59 dan FBM ACE meningkat 72.24 mata kepada 7,122.47.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.21 mata kepada 203.35, Indeks Perladangan naik 129.51 mata kepada 6,842.92 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 22.54 mata kepada 15,179.81.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.35 bilion saham bernilai RM2.33 bilion daripada 2.27 bilion saham bernilai RM2.89 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran naik kepada 395.01 juta unit bernilai RM72.67 juta berbanding 351.95 juta unit bernilai RM52.52 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE menokok kepada 908.16 juta saham bernilai RM304.85 juta daripada 838.38 juta saham bernilai RM288.84 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 349.11 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (697.92 juta), pembinaan (221.12 juta), teknologi (414.12 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (90.49 juta), hartanah (157.45 juta), perladangan (20.57 juta), REITs (6.34 juta), dana tertutup (3,500), tenaga (195.30 juta), penjagaan kesihatan (48.31 juta), telekomunikasi dan media (27.31 juta), pengangkutan dan logistik (109.94 juta) dan utiliti (10.83 juta). - Bernama