'Jika jurulatih guna 'akal', Zulfarhan mungkin selamat' - Hakim

Azman, Zulfarhan
Azman, Zulfarhan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini memberitahu bahawa sekiranya jurulatih menggunakan akal, Pagawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain mungkin boleh diselamatkan.

Hakim, Datuk Azman Abdullah berkata demikian ketika membaca penghakiman kes mencederakan tanpa niat membunuh ke atas Zulfarhan.

Beliau berkata, individu itu mungkin boleh menyelamatkan nyawa Zulfarhan jika tindakan awal diambil.

Walaupun berpangkat kapten, beliau berkata, jurulatih berkenaan bertindak kurang bijak kerana telah menularkan surat layang yang diterima menerusi aplikasi WhatsApp.

Bukan itu sahaja katanya, perkara sama berlaku jika ada campur tangan oleh doktor dari klinik swasta yang dikunjungi tertuduh dan mangsa.

“Kebiasaannya pihak hospital atau klinik kesihatan akan menghubungi polis kalau mengesyaki pesakit didera.

“Bukan membabi buta dengan mempercayai mangsa terlibat dengan letupan dalam latihan sehingga terkena kesemua bahagian tubuh termasuk alat sulitnya kecuali muka,” katanya.

Sebelum hukuman dijatuhkan, Azman berkata, hukuman yang akan dikenakan adalah untuk memberi rasa takut dan perit, bukan hanya kepada tertuduh-tertuduh tetapi juga kepada masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, hukuman dan diikat jamin berkelakuan baik, tidak memberi kesan kepada masyarakat malah semua pihak perlu mengambil kira mangsa, ibu bapa dan keluarganya.

Melihat kepada jasad Zulfarhan, beliau berkata, tidak dibayangkan seterika wap yang mengena kulit, pastinya berasa amat sakit.

Apatah lagi katanya, ia terkena pada bahagian sensitif termasuk alat sulit si mati, yang mana tidak dapat dibayangkan kerana si pelaku bertindak seperti penjenayah yang tiada belas kasihan.

“Saya sedih atas kejadian yang menimpa mangsa dan keluarga mangsa, kejadian jenayah seperti ini sepatutnya dielakkan,” katanya.

Dalam prosiding keputusan, seramai enam penuntut UPNM dihukum penjara 18 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, atas tuduhan menyebabkan mencederakan tanpa niat membunuh terhadap Zulfarhan.

Enam tertuduh itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan berkenaan di bilik blok asrama Jebat, UPNM antara jam 4.45 hingga 5.45 pagi pada 22 Mei 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda.

Dalam pada itu, lima daripada enam tertuduh (kecuali Mohamad Shobirin) juga dikehendaki menjalani hukuman penjara tiga tahun atas tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia telah mencuri komputer riba milik Muhammad Akmal Zuhairi.

Pendakwaan bagi kes itu mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, ketika membaca keputusan penghakimannya, Azman berkata, hukuman bagi kedua-dua pertuduhan itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan iaitu 1 Jun 2017.

Sementara itu, mahkamah juga menjatuhi hukuman penjara tiga tahun terhadap 12 yang lain, kerana sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia telah mencuri komputer riba.

Mereka ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa.

Perbuatan itu dilakukan di dalam sebuah bilik di blok asrama sama, jam 2.30 hingga 5.30 pagi, 21 Mei 2017.

Mahkamah memerintahkan hukuman itu bermula Selasa.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datin Kalmizah Salleh bersama Timbalan Pendakwa Raya, Joy Jothi manakala barisan peguam yang mewakili tertuduh-tertuduh antaranya Amer Hamzah Arshad, Datuk Seri M Ramachelam, Datuk Ranjit Singh, Datuk Hazman Ahmad, Zamri Idrus, Fadly Hashim dan Datuk Haziziah Kassim.