X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

Penduduk dakwa perparitan, saliran tidak sistematik punca banjir kilat

Adlan mengemas barangan di rumahnya yang dilanda banjir kilat ketika tinjauan di Taman Bukit Beruang Bestari hari ini. - Foto Bernama
A
A

MELAKA - Masalah sistem perparitan dan saliran tidak terancang dipercayai penyebab masalah banjir kilat yang kerap melanda sekitar kawasan Taman Perumahan Bukit Beruang Bestari, sekali gus meresahkan penduduk di situ setiap kali hujan lebat berlaku.

Penduduk mendakwa banjir kilat berulang kali berlaku itu berpunca daripada perparitan yang tidak sistematik di kawasan tadahan yang tidak diketahui pemilikan dan statusnya, selain sungai berhampiran menyebabkan air melimpah dan terperangkap di kawasan perumahan itu terutama ketika hujan lebat.

Seorang penduduk Adlan Ali, 40, berkata, penduduk terutamanya di blok kawasan rumahnya berada dalam dilema dan terpaksa berdepan situasi sama sejak 2017, hingga ada dalam kalangan mereka terpaksa berpindah kerana tidak mampu menanggung kerugian lagi.

“Kami telah banyak kali membuat aduan kepada pihak berkaitan, namun sehingga kini tiada lagi jalan penyelesaian... tahun ini sahaja empat kali kami dilanda banjir kilat.

“Kami amat berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera kerana tidak mampu menahan sabar dan letih setiap kali keadaan ini berlaku,” katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Berkongsi masalah sama, Halim Samsudin, 40, yang mengibaratkan taman perumahan mereka sebagai kawasan tadahan banjir kerana masalah saliran yang tidak teratur itu.

“Tahun ini sahaja empat kali banjir berlaku iaitu pada Mei, Julai, Oktober dan semalam. Masalah ini juga menjejaskan aktiviti penduduk, selain terpaksa menanggung banyak kerugian seperti perabot, kelengkapan rumah dan sebagainya,” katanya.

Hajar Jasmi, 37, berkata, belum sempat beliau mengemas rumah, dalam tempoh sepuluh hari kawasan itu telah dilanda banjir kali kedua menyebabkan mereka berasa trauma setiap kali hujan lebat.

“Kami baru sahaja membaik pulih dan mengecat rumah tahun lalu namun ia telah rosak. Apa yang kami harapkan masalah itu dapat segera diatasi segera supaya penduduk di sini tidak berada dalam dilema lagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri sementara, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, tindakan segera akan diambil bagi mengatasi masalah yang dihadapi penduduk di kawasan berkenaan.

Beliau turut meminta jabatan dan agensi terlibat untuk duduk berbincang bersama penduduk mengenai punca banjir yang sering berlaku di taman perumahan itu. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!