Dua premis guna logo halal tanpa kelulusan diserbu

Penguat kuasa KPDNHEP membuat pemeriksaan di premis yang disyaki menggunakan logo halal Jakim tanpa kelulusan. - Foto ihsan KPDNHEP
Penguat kuasa KPDNHEP membuat pemeriksaan di premis yang disyaki menggunakan logo halal Jakim tanpa kelulusan. - Foto ihsan KPDNHEP
A
A
A

PORT DICKSON - Tindakan pemilik dua premis di daerah ini yang cuba mengelirukan pelanggan kononnya mereka memiliki sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terbongkar apabila diserbu pihak berkuasa pada Isnin.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, operasi halal itu melibatkan empat pegawai penguat kuasa KPDNHEP negeri dan empat pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

"Pemeriksaan dilakukan di dua premis masing-masing di Bandar Port Dickson dan Jalan Batu 1 di sini, kira-kira jam 10 pagi.

"Kedua-dua premis disyaki menggunakan logo halal Jakim pada papan iklan, bungkusan produk sejuk beku dan mempamerkan sijil halal pembekal bahan mentah tanpa mendapat kebenaran daripada JHEAINS," katanya kepada media pada Selasa.

Menurutnya, perbuatan itu boleh mengelirukan pelanggan terutama yang beragama Islam kerana pemilik seolah-olah menunjukkan premisnya pemegang sijil halal Jakim.

Beliau berkata, berikutan itu kedua-dua premis didapati melakukan kesalahan mengikut Perenggan 8 Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

"Hukuman bagi kesalahan ini jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu, manakala hukuman bagi pertuduhan perbadanan ialah denda RM250,000," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan peniaga supaya tidak menggunakan logo halal, sijil halal atau sebarang perakuan tanpa perakuan Jakim dan ia hanya boleh digunakan atau dipamerkan oleh pemegang sijil halal sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Pengguna juga dinasihatkan supaya berhati-hati dan membuat semakan pada penggunaan logo halal yang digunakan pada premis atau produk sama ada makanan atau barangan lain," katanya.