X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 18 Mei 2022

JKNT keluar 2,426 kompaun pelbagai kesalahan bernilai RM2.93 juta

Dr Kasemani - Foto Bernama
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah mengeluarkan sebanyak 2,426 kompaun bernilai RM2,932,300 hasil pemeriksaan dan operasi ke atas 117,101 premis seluruh negeri sejak 1 Januari hingga 1 November lepas.

Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 1,234 kompaun kesalahan dengan nilai RM142,300 dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 kerana melakukan pelbagai kesalahan termasuk merokok di kedai makan.

"Selain itu, sebanyak 1,083 kompaun dengan nilai RM2,755,500 pula dikeluarkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB )1988. Antara kesalahan di bawah akta ini ialah tidak menggunakan MySejahtera ketika memasuki premis, tiada penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka.

"Bagi kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 pula, sebanyak 109 kompaun dengan nilai RM34,500 dikeluarkan. Antara kesalahannya ialah pekerja tidak memakai apron lengkap, tidak berkasut dan tidak mempunyai sijil suntikan antitifoid yang sah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau operasi khas 'Ops Gomo Asap Pagi' yang diadakan di sini pada Selasa.

Sebanyak 51 premis di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus diperiksa dalam operasi melibatkan 47 pegawai dari Unit Inspektoran dan Perundangan jabatan.

Mengulas lanjut, Dr Kasemani berkata, masalah merokok di tempat makan kembali meningkat susulan peralihan Terengganu ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang membenarkan semula aktiviti 'dine-in' di tempat-tempat makan awam.

"Penguatkuasaan larangan merokok sangat penting dalam memastikan negara bersedia beralih ke fasa endemik selaras dengan kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa aktiviti merokok termasuk penggunaan rokok elektronik boleh meningkatkan risiko untuk mendapat komplikasi yang lebih teruk sekiranya dijangkiti Covid-19.

"Sehubungan itu, JKNT telah merangka operasi khas Ops Gomo Asap yang memberi fokus terhadap larangan merokok di tempat makan pada waktu sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam," katanya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!