Polis bekerjasama dengan pemilik bot bantu mangsa banjir

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim (kiri) ketika meninjau kawasan di sempadan Malaysia - Thailand di Sungai Golok, Pengkalan Kubor, Tumpat.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim (kiri) ketika meninjau kawasan di sempadan Malaysia - Thailand di Sungai Golok, Pengkalan Kubor, Tumpat.
A
A
A

TUMPAT - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengumpulkan pemilik-pemilik bot persendirian di negeri-negeri yang terbabit dengan banjir bagi bekerjasama membantu operasi menyelamat dan memindahkan mangsa bencana pada musim tengkujuh.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, langkah mengesan dan mengkoordinasi pemilik-pemilik bot dalam kalangan penduduk setempat itu akan dilakukan oleh ketua-ketua polis di setiap daerah yang terlibat.

Menurutnya, kerjasama antara pasukan penyelamat dan pengendali serta pemilik bot tempatan itu diperlukan kerana mereka lebih arif berkaitan selok-belok kawasan masing-masing yang akan dapat membantu penugasan menyelamat mangsa banjir.

“Kami memerlukan mereka yang mempunyai pengetahuan di lokasi yang berlaku banjir untuk bekerjasama dengan pasukan penyelamat supaya lebih memudahkan operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir.

“Oleh itu, saya beri arahan kepada ketua polis daerah supaya penduduk-penduduk kampung yang ada bot ini tampil untuk berdaftar dan bekerjasama dengan pihak polis,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Lawatan Kerja dan Tinjauan Sempadan Malaysia-Thailand Op Benteng di Sungai Golok, di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun.

Mengulas mengenai persiapan banjir di Kelantan, Mazlan berkata, setakat ini kekuatan pegawai dan anggota serta aset yang dimiliki untuk berdepan dengan bencana banjir adalah mencukupi.

“PDRM akan mengetuai operasi menyelamat mangsa banjir dengan membina 200 pangkalan hadapan apabila berlaku banjir di Kelantan.

Artikel Berkaitan:

“Sejumlah 653 pasukan juga ditugaskan untuk membantu mangsa-mangsa banjir di negeri ini,” katanya.