X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 18 Mei 2022

Amaran cuaca waspada di Kelantan, Terengganu

Keadaan itu diramal berlaku di Kelantan melibatkan kawasan Tumpat, Kota Bharu, Bachok Pasir Puteh, manakala di Terengganu melibatkan Besut, Setiu, Kuala Nerus serta Kuala Terengganu. - Foto 123rf
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca waspada peringkat kuning di Kelantan dan Terengganu bermula hari ini hingga esok.

Menurut MetMalaysia dalam kenyataan pada Selasa, keadaan itu diramal berlaku di Kelantan melibatkan kawasan Tumpat, Kota Bharu, Bachok Pasir Puteh, manakala di Terengganu melibatkan Besut, Setiu, Kuala Nerus serta Kuala Terengganu.

Kenyataan itu turut memberitahu angin bertiup dari arah timur laut dijangka berpotensi membawa hujan lebat dan angin kencang yang boleh menyebabkan banjir di kawasan berkedudukan rendah di kawasan terbabit.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim telah mengarahkan anggotanya supaya bekerjasama dengan penduduk setempat yang memiliki bot persendirian untuk membantu mengurus proses pemindahan mangsa banjir.

Beliau berkata, langkah ini perlu dilakukan memandangkan mereka (pengendali bot) lebih arif dan mengetahui mengenai kawasan berkenaan.

"Kita perlu orang yang ada pengetahuan kawasan setempat sebab sekiranya banjir berlaku pasukan bantuan seperti polis dan bomba tidak mengetahui sangat mengenai keadaan kawasan tersebut, jadi apabila ada mereka ini ia lebih memudahkan operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir.

"Oleh itu, saya telah beri arahan kepada Ketua Polis Daerah supaya penduduk-penduduk kampung yang ada bot ini tampil untuk berdaftar dengan pihak polis, " katanya kepada pemberita selepas majlis lawatan kerja dan tinjauan sempadan Malaysia-Thailand Op Benteng di Sungai Golok, di sini pada Isnin.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun.

Mengulas mengenai persiapan banjir di Kelantan, Mazlan berkata setakat ini kekuatan pegawai dan anggota serta aset yang dimiliki untuk berdepan dengan bencana banjir di negeri itu adalah mencukupi. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!