Pengundi muda Melaka lebih celik politik

Saiful (berdiri tengah,baju putih) bergambar bersama sukarelawan dan pemandu p-hailing yang didaftarkan di bawah skim SPS di Larkin, Johor Bahru pada Isnin
Saiful (berdiri tengah,baju putih) bergambar bersama sukarelawan dan pemandu p-hailing yang didaftarkan di bawah skim SPS di Larkin, Johor Bahru pada Isnin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Golongan pengundi muda di Melaka diyakini lebih bijak untuk memilih calon terbaik berdasarkan kepada situasi politik terkini dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan pada 20 November depan.

Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Nasional, Saiful Bahari berkata, perkara itu berikutan golongan muda kini lebih cenderung untuk memahami landskap politik terkini yang disiarkan menerusi media sosial berdasarkan pemahaman politik masing-masing.

"PRN kali ini memang sedikit sukar tetapi saya berpendapat kita ada kelebihan terutamanya daripada golongan muda kerana mereka ini lebih cenderung mengetahui isu-isu semasa dan sedia maklum kerajaan Melaka sebelum ini dijatuhkan sendiri oleh siapa.

"Golongan muda kini lebih celik, saya yakin mereka memerhati pentadbiran negara, jika mereka mahu kerajaan yang bersih, mereka boleh menilai kerajaan sekarang adalah berlandaskan kepercayaan dan bukan sibuk merebut kuasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Pendaftaran Skim Keselamatan Sosial (SPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang dianjurkan Yayasan Komuniti Negara Negeri Johor di Wisma Perkeso Larkin, di sini pada Isnin.

Hadir sama, Pengarah Perkeso Johor, Tong Sing Chuang.

Saiful berkata, pihaknya juga tidak akan mengambil pendekatan seperti kritikan terus kepada parti yang bertanding pada PRN Melaka sebaliknya menggunakan platform media yang ada untuk hebahan kesemua inisiatif dilaksanakan kerajaan PN sejak memerintah.

Katanya, usaha itu dilihat secara tidak lansung menunjukkan Perikatan Nasional (PN) bukan kerajaan yang hanya semata-mata mahu menjatuhkan tetapi setiap kepentingan adalah untuk membina semula negara walaupun dalam tempoh sukar ketika pandemik Covid-19 ini.

Artikel Berkaitan:

"Macam saya cakap orang muda kini lebih faham politik dan ini akan kita gunakan sepenuhnya menerusi saluran yang ada untuk mereka nilai mana kerajaan yang betul-betul menjaga rakyat dan siapa yang hanya mementingkan kuasa dan poket sendiri.

"Kali ini kita bertanding tiga penjuru dan salah satunya adalah Barisan Nasional (BN) yang sedia maklum masih berada dalam kerajaan. Sebenarnya kita tidak mahu kritik sesiapa cuma dengan apa yang berlaku, kami harap rakyat melihat siapa sebenarnya yang menolak penyatuan," katanya.

Beliau berkata, Armada Bersatu Nasional juga menyokong sepenuhnya keputusan dibuat pimpinan tertinggi parti terutama membabitkan calon-calon yang akan bertanding pada PRN kali ini.

"Kami menyambut baik keputusan Presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin) yang maklum PRN kali ini akan melibatkan lebih banyak calon muda dan golongan profesional. Ini adalah pendedahan baik untuk kita melihat pemimpin baharu yang bersih dan kompeten," katanya.

Sementara itu, Saiful yang juga Pengerusi Yayasan Komuniti Negara Negeri Johor berkata, pihaknya telah membantu mendaftarkan seramai 50 pekerja penghantaran makanan, minuman dan bungkusan menggunakan motosikal (p-hailing) dalam program yang diadakan berkenaan.

Katanya, usaha itu adalah bagi memudahkan golongan ini mendapat pendedahan skim SPS yang turut disenaraikan dalam Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) diumumkan kerajaan tahun lalu.

"Mengambil maklum mengenai statitik kemalangan dalam tempoh PKP iaitu sebanyak 7,525 kes dan 2,576 kes daripadanya adalah melibatkan p-hailing, kami mahu mereka ini mendapat pembelaan yang sewajarnya sekiranya berlaku perkara tidak diingini.

"Sebenarnya ramai yang tidak tahu, jika mereka mencarum dengan SPS ini, apa-apa terjadi Perkeso akan membantu. Jadi jika berlaku kemalangan atau melibatkan kematian ia bukan sekadar sia-sia malah keluarga mereka mendapat pembelaan," katanya.