Air pasang besar: 21 kawasan di Bagan Datuk berisiko banjir

Kawasan Bagan Sungai Tiang yang berada di dalam mukim Rungkup antara kawasan diramal terkesan akibat fenomena air pasang besar mulai 4 November ini.
Kawasan Bagan Sungai Tiang yang berada di dalam mukim Rungkup antara kawasan diramal terkesan akibat fenomena air pasang besar mulai 4 November ini.
A
A
A

BAGAN DATUK - Sekretariat Bencana Daerah Bagan Datuk mengenalpasti 21 kawasan di daerah itu yang berdepan risiko banjir akibat fenomena air pasang besar bermula 4 Disember ini.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Bagan Datuk, Kapten (PA) Mohd Zaidi Ahmad berkata, sehubungan itu notis makluman mengenai fenomena air pasang besar di daerah itu telah dikeluarkan pada Isnin kepada penduduk terlibat.

Menurutnya, notis tersebut dikeluarkan kepada penduduk di empat mukim di daerah Bagan Datuk khususnya di pesisir pantai supaya mereka berwaspada sepanjang tempoh fenomena tersebut.

"Notis yang kita keluarkan ini berdasarkan data air pasang besar yang dikeluarkan oleh Jabatan Laut. Berdasarkan maklumat itu, kita minta penduduk berwaspada jika berlaku banjir.

"Pihak APM sentiasa memantau secara berkala di kawasan ini. Berdasarkan data yang dikeluarkan, air pasang paling tinggi diramal berlaku pada 5 November pada jam 4.55 pagi iaitu setinggi 3.4 meter," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Mohd Zaidi berkata, sebanyak empat kawasan mukim terlibat iaitu Hutan Melintang, Bagan Datuk, Rungkup dan Teluk Bharu.

Artikel Berkaitan:

Notis makluman yang dikeluarkan Sekretariat Bencana Daerah Bagan Datuk kepada penduduk terlibat dengan kesan fenomena air pasang besar.
Notis makluman yang dikeluarkan Sekretariat Bencana Daerah Bagan Datuk kepada penduduk terlibat dengan kesan fenomena air pasang besar.

Sementara itu, beliau berkata, berdasarkan pengalaman sebelum ini fenomena air pasar besar di Bagan Datuk tidak menyebabkan banjir besar.

Menurutnya, namun perkara yang dibimbangi apabila berlaku pertembungan hujan lebat dan air pasang besar serentak.

"Fenomena air pasang besar ini tidak berlaku dalam tempoh yang lama dalam beberapa jam sahaja, cuma kita bimbang jika bertembung hujan lebat akan berlaku banjir besar.

"Sebelum ini, fenomena air pasang besar di Bagan Datuk ini tidak menyebabkan sebarang pemindahan penduduk, namun kita tetap berwaspada dengan sebarang kemungkinan," katanya.

Menerusi notis makluman yang dikeluarkan, kawasan yang terlibat ialah Tebing Sungai Bernam, Kampung Sungai Manila, Sungai Samak, Kampung Bagan Lalang, Kampung Kota, Hutan Melintang dan Teluk Buluh bagi mukim Hutan melintang.

Bagi mukim Bagan Datuk, kawasan terlibat ialah Kampung Bagan Ikan, Kampung Bagan Sungai Burung, Kampung Pasang Api, Kampung Bagan Sungai Tiang, Kampung Tebing Rebak, Kampung Tanah Lalang dan Kampung Sungai Dulang.

Di mukim Rungkup pula, kawasan terlibat dengan fenomena air pasang besar ini ialah Bagan Pasir Laut, Bagan Lipas, Bagan Sungai Belukang dan Bagan Sungai Tiang manakala di mukim Teluk Bharu hanya melibatkan tiga kawasan iaitu Tapak Semenang, Teluk Bharu dan Tebing Rebak.