KWSP: 50 peratus pencarum miliki simpanan lebih RM10,000

Ahmad. - Foto fail Bernama
Ahmad. - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu memikirkan tentang 50 peratus pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memiliki simpanan lebih daripada RM10,000 dalam mempertimbangkan kenaikan had pengeluaran i-Citra.

Bekas Timbalan Menteri Kewangan yang juga Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerajaan perlu menimbang semula permohonan kenaikan had pengeluaran i-Citra kepada RM10,000 itu seperti yang dikehendaki pencarum.

"Kita memahami laporan yang dikeluarkan bahawa 50 peratus pencarum hanya mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 dalam KWSP.

"Tetapi kita juga harus memikirkan baki 50 peratus lagi pencarum yang memiliki simpanan yang lebih daripada itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Bajet) 2022 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Bekas Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak turut membangkitkan isu sama ketika perbahasan Bajet 2022 pada Isnin.

Beliau merayu agar kerajaan menaikkan had pengeluaran maksimum KWSP menerusi i-Citra kepada RM10,000 sebagai skim pengeluaran khas terakhir.

Pada Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 tidak memasukkan pengeluaran simpanan KWSP i-Citra sebanyak RM10,000 secara 'one-off' dalam belanjawan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Setiausaha Agung UMNO itu berkata, bantuan kewangan sebenarnya banyak membantu peniaga sepanjang pandemik Covid-19.

"Maka disebabkan perkara itu mereka sangat memerlukan kemudahan pengeluaran KWSP ini.

"Pada masa sama diharapkan kerajaan turut melanjutkan lagi tempoh moratorium (pinjaman bank) supaya dapat membantu rakyat yang terjejas," katanya.