Pahang rekod 3,864 kes tipu, kerugian lebih RM137.6 juta

Ramli (kiri) bersama Mohd Wazir memberikan penjelasan berhubung 'trend' terkini jenayah komersial pada sidang akhbar JSJK Kontinjen Pahang di IPK Pahang, Kuantan pada Selasa.
Ramli (kiri) bersama Mohd Wazir memberikan penjelasan berhubung 'trend' terkini jenayah komersial pada sidang akhbar JSJK Kontinjen Pahang di IPK Pahang, Kuantan pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Sebanyak 3,864 kes penipuan melalui pelbagai modus operandi direkodkan di Pahang dengan nilai kerugian lebih RM137.6 juta dalam tempoh 2019 hingga September tahun ini.

Daripada keseluruhan kes yang direkodkan itu, 1,244 kes pada 2019 dengan nilai kerugian RM47.4 juta diikuti tahun lalu, 1,325 kes (RM47.9 juta) dan 1,295 kes dalam tempoh Januari hingga September tahun ini membabitkan kerugian RM42.2 juta.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, untuk tempoh sembilan bulan tahun ini, kes penipuan melibatkan pembelian dalam talian mencatatkan kes tertinggi dengan 487 kes dengan nilai kerugian lebih RM3 juta diikuti kes penipuan pinjaman tidak wujud, 248 kes (RM2.1 juta); pelaburan tidak wujud, 110 kes (RM5.08 juta) dan menyamar individu, 91 kes (RM423,166).

Menurutnya, kes lain yang direkodkan termasuk penipuan Macau Scam, 90 kes (RM3.5 juta); Love Scam, 66 kes (RM1.3 juta); pinjaman wang tidak berlesen, 21 kes (RM297,000) dan tipu tanah, enam kes (RM13.6 juta).

"Melalui statistik dikeluarkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kontinjen Pahang, masing-masing lima kes bagi kes tipu SMS, hadiah cabutan bertuah dan wang palsu dengan nilai kerugian lebih RM94,000.

"Turut direkodkan empat kes melibatkan tipu bomoh dengan kerugian lebih RM192,000 dan lain-lain kes tipu, 157 kes (lebih RM12 juta)," katanya pada sidang akhbar JSJK Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini pada Selasa.

Hadir sama, Ketua JSJK Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof.

Ramli berkata, dalam tempoh Januari hingga September tahun ini, pihak JSJK Pahang telah melaksanakan 542 serbuan bagi kes jenayah komersial di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Ramli (kiri) menunjukkan risalah 'trend' terkini jenayah komersial yang akan diedarkan kepada umum bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kes-kes penipuan yang terus meningkat.
Ramli (kiri) menunjukkan risalah 'trend' terkini jenayah komersial yang akan diedarkan kepada umum bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kes-kes penipuan yang terus meningkat.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 539 serbuan berjaya melakukan tangkapan dan merampas barang kes manakala tiga serbuan gagal.

"Hasil serbuan itu, seramai 637 individu berjaya ditahan atas pelbagai kesalahan komersial," katanya.

Beliau berkata, hasil analisis yang dilakukan, kebanyakan kes menggunakan modus operandi tertentu menunjukkan peningkatan kes di negeri ini.

"Kita tidak menolak ia didorong perkembangan teknologi dan pengaruh media sosial yang begitu meluas ketika ini.

"Peluang itu digunakan penjenayah untuk mencari dan menipu mangsa dengan mudah tanpa perlu bersemuka," katanya.

Tambah bellau, kes penipuan secara dalam talian ini bukan bersifat sementara sebaliknya ia akan terus meningkat sekiranya masyarakat tidak peka atau terlalu mudah percaya dengan tawaran yang dijanjikan.

"Kita juga yakin ramai lagi mangsa yang mengambil sikap berdiam diri dan tidak membuat laporan polis atas alasan malu dan menjaga maruah terutama bagi golongan status sosial yang tinggi.

"Sebenarnya banyak faktor yang mendorong mangsa terjebak antaranya ingin mendapatkan keuntungan secara mudah dan kurang maklumat berhubung penipuan ini.

"Selain itu ada juga mangsa yang panik apabila 'digertak' dengan kes-kes jenayah yang dikaitkan dengan mereka oleh penipu yang menyamar sebagai pihak berkuasa.

"Akibatnya, ramai yang terjerat dan mengikut arahan penipu ini bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang dan akhirnya terpaksa menanggung kerugian," katanya.