Wanita Bangkit bantu 1,744 wanita jana pendapatan

Rina (kiri) menyediakan burger pada Program Wanita Bangkit @ KPWKM dan Majlis Menandatangani Dokumen Penyataan Persefahaman bersama Rakan Strategik di Syukor Burger, Puncak Alam di sini pada Selasa.
Rina (kiri) menyediakan burger pada Program Wanita Bangkit @ KPWKM dan Majlis Menandatangani Dokumen Penyataan Persefahaman bersama Rakan Strategik di Syukor Burger, Puncak Alam di sini pada Selasa.
A
A
A

PUNCAK ALAM - Seramai 1,744 wanita mendapat peluang pekerjaan dan platform keusahawanan menerusi insiatif Wanita Bangkit sejak mula diperkenalkan pada 1 September lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, inisiatif kementeriannya di bawah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) itu menyasarkan golongan wanita dalam kalangan suri rumah, ibu tunggal dan mereka yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19.

"Ramai dalam kalangan wanita terkesan dan terjejas dari segi pendapatan akibat Covid-19 dan terpaksa mencari jalan keluar daripada kesempitan hidup.

"Tujuan utama insiatif Wanita Bangkit ini bertujuan memberi fokus kepada aktiviti penjanaan pendapatan melalui platform menghubungkan peluang pekerjaan dan penerokaan kepada perniagaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Wanita Bangkit @ KPWKM dan Majlis Menandatangani Dokumen Pernyataan Persefahaman bersama Rakan Strategik di Syukor Burger, Puncak Alam di sini pada Selasa.

Rina menjangkakan seramai 2,000 wanita menerima manfaat tersebut kerana ia merupakan petunjuk prestasi utama (KPI) beliau dalam tempoh 100 hari sebagai menteri.

"Saya sedaya upaya merealisasikan hasrat ini untuk membantu wanita bangkit untuk maju bagi membantu keluarga meningkatkan taraf ekonomi," ujarnya.

Selain itu, Rina berkata, sebanyak 40 syarikat sinergi bekerjasama di bawah inisiatif terbabit.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, pihak terbabit menawarkan peluang yang boleh diberikan kepada golongan sasar wanita bagi memastikan masa depan mereka lebih tersusun dan terancang melalui proses pemerkasaan ekonomi.

Menurut Rina, insiatif itu juga sebagai program kesinambungan Bakul Makanan yang dilaksanakan kementeriannya sebelum ini.

"Sebanyak 2 juta bakul makanan telah kita agihkan sebelum ini dan kita berhasrat melalui Wanita Bangkit ia dapat membuka lebih banyak peluang kepada golongan wanita mengubah taraf kehidupan mereka," katanya.

Justeru katanya, program Wanita Bangkit itu dijadualkan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada awal Disember depan.

"Sehingga kini, sebanyak lapan siri karnival kerjaya diadakan bagi membantu wanita mendapatkan peluang pekerjaan dan menjadi usahawan.

"Kita berharap, inisiatif ini dapat membantu wanita merebut segala peluang disediakan kerajaan untuk merubah kehidupan lebih baik," katanya.