X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

KASA nasihatkan rakyat siap sedia hadapi musim tengkujuh

Peka terhadap amaran hujan lebat, angin kencang dan laut bergelora yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia. - Foto 123rf
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menasihatkan rakyat Malaysia untuk bersiap sedia bagi menghadapi musim tengkujuh dan dalam masa sama peka terhadap amaran hujan lebat, angin kencang serta laut bergelora yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, musim Timur Laut atau musim tengkujuh yang dijangka bermula 3 November hingga Mac 2022 boleh menyebabkan banjir akibat hujan lebat yang berterusan.

Beliau berkata, risiko banjir akan menjadi lebih buruk jika berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut.

“Tiupan angin Timur Laut secara berterusan dan kencang akan menyebabkan laut bergelora dan ombak besar di perairan Laut China Selatan, manakala kawasan pantai yang menghadap laut tersebut dijangka alami risiko kenaikan paras air laut.

“Semua dinasihatkan agar bersiap sedia hadapi musim tengkujuh dan peka terhadap amaran hujan lebat, angin kencang dan laut bergelora yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.

“Hati-hati semua. Semoga ALLAH SWT sentiasa lindungi kita daripada bencana buruk. Boleh muat turun aplikasi myCuaca, layari laman web dan media sosial rasmi Malaysian Meteorological Department dan hubungi talian hotline 1-300-322-1638 untuk mendapatkan info lanjut,” katanya menerusi ciapan di Twitter pada Selasa.

Dalam kenyataan MetMalaysia pada Isnin memaklumkan, hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor mulai November ini hingga awal Januari 2022, susulan peralihan Monsun Timur Laut yang dijangka bermula 3 November dan berterusan sehingga Mac tahun depan.

Menurutnya, hujan lebat juga dijangka lebih tertumpu di Sarawak dan Sabah pada awal Januari dan Februari 2022.

Selain itu, mulai hujung Januari hingga Mac 2022 dijangka cuaca agak kering di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!