5,071 kes baharu, 97.6 peratus kategori satu dan dua

Sebanyak 5,071 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini. - Foto Bernama
Sebanyak 5,071 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kes sembuh Covid-19 mengatasi kes baharu apabila sebanyak 5,372 kes sembuh dicatatkan pada Selasa berbanding 5,071 kes baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata, perkembangan terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes pulih Covid-19 kini 2,385,432 atau 96.1 peratus, berbanding jumlah kumulatif kes baharu 2,481,339.

“Sebanyak 4,950 kes atau 97.6 peratus daripada 5,071 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini dalam kategori satu dan dua, manakala 121 kes atau 2.4 peratus adalah dalam kategori tiga, empat dan lima,” katanya.

Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan 5,071 kes baharu Covid-19 pada Selasa sebanyak 5,056 kes adalah jangkitan tempatan, melibatkan 4,815 warganegara dan 241 bukan warganegara manakala sebanyak 15 kes lagi adalah kes import.

Katanya, kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) kini adalah 557 kes dan 300 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak lima kluster baharu dikenal pasti pada Selasa dengan tiga daripadanya adalah kluster tempat kerja dan masing-masing satu kluster bagi pendidikan lain dan komuniti.

Mengenai kadar kebolehjangkitan, Dr Noor Hisham berkata, nilai Rt negara kini adalah pada 0.96 dengan Putrajaya mencatatkan nilai tertinggi iaitu 1.06, dan Labuan merekodkan nilai sifar.

Beliau berkata, maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 di Malaysia akan dimuat naik di laman web CovidNow di https://covidnow.moh.gov.my dan data akan dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari. - Bernama

Artikel Berkaitan: