PGA rampas barangan seludup, dadah bernilai RM202 juta

Mazlan (tengah) melakukan tinjauan kawasan di sempadan Malaysia - Thailand di Sungai Golok, Pengkalan Kubor, Tumpat.
Mazlan (tengah) melakukan tinjauan kawasan di sempadan Malaysia - Thailand di Sungai Golok, Pengkalan Kubor, Tumpat.
A
A
A

TUMPAT - Pelbagai barangan penyeludupan bernilai RM202 juta termasuk dadah dan kontraban berjaya dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam operasi kawalan di sempadan di seluruh negara antara tempoh Januari hingga Oktober lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, jumlah itu membabitkan 3,122 tangkapan dalam lima operasi yang dilaksanakan oleh Briged PGA Utara, Tengah, Tenggara, Sarawak dan Sabah.

Katanya, nilai rampasan barangan penyeludupan paling tinggi dilakukan oleh Briged Tengah yang berjumlah RM75 juta diikuti Tenggara (RM52 juta), Sarawak (RM38 juta), Sabah (RM 27 juta) dan Utara (RM8 juta).

“Keseluruhan barangan seludup yang dirampas berjumlah RM202 juta dengan 1,751 jumlah kes.

“Berdasarkan pecahan sebanyak 498 kes membabitkan rampasan dadah dan racun, 69 kes Op Khazanah dan 852 kes lain-lain manakala 332 kes penyeludupan migran,” katanya kepada pemberita di jeti Pangkalan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3 Pengkalan Kubor, di sini, pada Selasa.

Beliau sebelum itu mengadakan Lawatan Kerja Program Tinjauan sempadan Malaysia-Thailand di Perairan Sungai Golok pada Op Benteng.

Mazlan (tengah) pada sidang media di jeti Pangkalan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3 Pengkalan Kubor, Tumpat, pada Selasa.
Mazlan (tengah) pada sidang media di jeti Pangkalan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3 Pengkalan Kubor, Tumpat, pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun.

Artikel Berkaitan:

Mazlan berkata, Op Benteng bagi kawalan di sempadan Malaysia membabitkan 170 pos dengan kekuatan 3,250 pegawai dan anggota serta aset pelbagai jenis berjumlah 2,040 antaranya 154 bot.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan juga meluluskan pembinaan lapan pos kawalan PGA di Sabah dan Sarawak dalam usaha memperkasakan keselamatan di sempadan negara daripada kegiatan pembolosan dan penyeludupan.

“Daripada jumlah itu, tujuh pos akan dibina di Sarawak dan satu pos di Sabah dengan setiap pos melibatkan kekuatan sebanyak dua seksyen iaitu seramai 26 keanggotaan.

“Penambahan pos kawalan baharu tersebut bagi meningkatkan kesiapsiagaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pengambilan fungsi serta peranan Agensi Keselamatan Sempadan (AKSEM) oleh PGA,” katanya.

Tambah beliau, di Sarawak dua pos akan dikendalikan PGA Batalion 10 iaitu Pos Tapak Megah, Belaga, dan Pos Ulu Sungai Paku - Undop, di Sri Aman manakala lima pos lagi akan berada di bawah kendalian PGA Batalion 11 iaitu Pos Biawak dan Pos Raso di Lundu, Pos Sebubok, Bau, Pos Sapit, Padawan dan Pos Temong Mura di Serian, Sarawak.

“Satu lagi pos di Sabah pula adalah Pos Pagalungan di Keningau yang akan dikendalikan PGA Batalion 16,” katanya.