Buang sisa kimia: JAS Johor senarai 30 kilang

Muhammad Ezzani
Muhammad Ezzani
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor menyenarai pendek 30 kilang dipercayai terbabit dalam isu pembuangan sisa kimia secara haram di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.

Pengarahnya, Datuk Dr Muhammad Ezzani Mat Salleh berkata, ujian yang dijalankan mendapati bahan kimia yang dilepaskan di sungai berkenaan adalah dari jenis sisa minyak iaitu bazin dan metana.

Justeru, katanya, kesemua kilang itu akan dipantau bagi melihat keseragamannya dengan keputusan bahan kimia yang telah dilepaskan.

"Memang ada kilang-kilang kimia di sana, kita akan terus pantau untuk tengok kilang mana yang ada potensi minyak (bahan kimia) berkaitan itu.

"Semuanya ada dalam 30 kilang di kawasan Pasir Gudang, Tanjung Langsat dan Kawasan Perindustrian Tebrau," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Muhammad Ezzani berkata, kes yang berlaku ini merupakan laporan kali pertama diterima pihaknya dan berharap orang ramai boleh memberikan maklumat.

"Kita mahu maklumat, tidak kira orang ramai atau pekerja kilang sendiri yang tahu mengenai pembuangan sisa ini. Ia boleh membantu penyiasatan," katanya.

Beliau berkata, seramai 10 anggota membabitkan dua pasukan telah dikerahkan untuk memantau keadaan di kawasan pencemaran sehingga keadaan mulai stabil.

Artikel Berkaitan:

"Penugasan ini ditetapkan sehingga kes selesai. Daripada perancangan awal mungkin memakan masa sehingga lima hari untuk kita bantu bersihkan sungai dahulu.

"Jadi dalam tempoh ini saya juga nak nasihatkan orang awam untuk sentiasa memakai topeng muka," katanya.