Nadal beri bayangan kembali awal

Nadal ketika menyertai Terbuka Citi di Washington pada Ogos.
Nadal ketika menyertai Terbuka Citi di Washington pada Ogos.
A
A
A

PEMAIN tenis nombor lima dunia, Rafael Nadal berhasrat untuk kembali di acara pertunjukan di Abu Dhabi bulan depan sebelum menyertai kejuaraan lain sebagai persiapannya ke Terbuka Australia.

Nadal sebelum ini bergelut isu kecederaan yang menyebabkannya terpaksa menarik diri dari kejuaraan Wimbledon dan Sukan Olimpik Tokyo 2020, menyaksikan pertandingan terakhir merupakan Terbuka Citi di Washington pada Ogos.

Pemain dari Sepanyol berusia 33 tahun itu sebelum ini menjelang Terbuka Amerika Syarikat (AS) lalu mengumumkan kecederaan kaki kirinya menyaksikan dia terpaksa berehat sehingga hujung tahun.

Namun perkhabaran terbaru menyaksikan dia memaklumkan bahawa bakal mengambil bahagian dalam pertandingan pertunjukan sempena Kejuaraan Tenis Dunia Mubadala pada 16 hingga 18 Disember depan.

"Perancangan saya adalah untuk beraksi di Abu Dhabi pada Disember diikuti pertandingan lain sebelum ke saingan Terbuka Australia. Ini merupakan impian saya, yang mana akan diusahakan sebaik mungkin untuk direalisasikan.

"Sejujurnya, saya tidak tahu masa terbaik untuk melakukan penampilan semula, cumanya impian adalah melakukan penampilan di Abu Dhabi pada Disember dan tentunya diikuti permulaan musim baharu pada Januari.

"Kecederaan di kaki saya semakin beransur pulih, namun saya sudah pun menyertai latihan selama satu jam setengah sehari dan ia menunjukkan petanda positif," katanya Nadal semasa satu program di Paris

Nadal dijangka mengambil bahagian di Terbuka Australia pada 17 Januari depan.

Artikel Berkaitan: