X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

MAFI rangka strategi ikut keperluan semasa sekuriti makanan negara

Ronald Kiandee - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan memastikan strategi yang dirangka menerusi Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 bertepatan dengan keperluan semasa sekuriti makanan negara, termasuk senario, isu dan cabaran global.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, saranan-saranan penambahbaikan yang dibangkitkan oleh The Economist Intelligence Unit (EIU) menerusi Laporan Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) 2020 turut diambil kira dalam penyediaan pelan tersebut.

Tambahnya, Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara termasuk usaha- usaha untuk menangani ketidakstabilan pengeluaran hasil pertanian, kebergantungan import makanan, kebergantungan ekonomi terhadap sumber semula jadi, akses kepada data mudah alih dan pembiayaan kewangan serta kemampanan sumber semula jadi.

"Di bawah Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara, MAFI juga melaksanakan inisiatif- inisiatif seperti pusat pengembangan akuakultur, pelaksanaan program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) serta kajian-kajian berteraskan makanan alternatif ternakan dan juga makanan ruji untuk merancakkan pengeluaran makanan negara.

"Pelaksanaan inisiatif ini juga dapat mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan dengan meningkatkan produktiviti sistem makanan melalui pengukuhan infrastruktur dan pemerkasaan pengeluar makanan.

"Di samping itu, usaha-usaha berteraskan pemeliharaan dan pemuliharaan sumber semula jadi bagi kesinambungan pengeluaran makanan turut dilaksanakan oleh MAFI untuk menjaga kawasan perlindungan marin dengan mewartakannya sebagai kawasan larangan menangkap ikan," katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Amiruddin Hamzah (Bebas-Kubang Pasu) yang mahu kementeriannya menyatakan bagaimana Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 yang bakal dilancarkan dapat meningkatkan kedudukan Malaysia dalam GFSI.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!