Air pasang besar: 11 lokasi berisiko banjir dikenal pasti di Klang

Shahrizal (dua dari kiri) meninjau keadaan sewaktu lawatan tapak berkenaan pada Selasa.
Shahrizal (dua dari kiri) meninjau keadaan sewaktu lawatan tapak berkenaan pada Selasa.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Klang mengenalpasti 11 lokasi di sekitar kawasan ini yang berisiko banjir susulan fenomena air pasang besar bermula pada Khamis hingga Ahad ini.

Kawasan terlibat adalah membabitkan Kampung Tok Muda, Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah, Pandamaran, Taman Selat Damai, Pelabuhan Klang, Kampug Sungai Serdang, Ban Sementa, Ban Sungai Keramat, Kampung Perepat, Pelabuhan Utara, Telok Gong dan Pulau Ketam.

Pemangku Pengerusi JPBD Klang, Shahrizal Mohd Salleh berkata, susulan itu, setiap agensi terlibat telah diarahkan melakukan persediaan dan pemantauan di kawasan-kawasan berkenaan sepanjang tempoh terlibat.

"Arahan bersedia juga telah dikeluarkan kepada semua penghulu dan ketua kampung supaya dapat membantu memantau kawasan yang dikenal pasti itu," katanya pada sidang akhbar selepas lawatan tapak di Pintu Air Pandamaran 12, Kampung Sijangkang di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Shahrizal berkata, JPBD Klang juga telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyediakan pusat pemindahan sementara (PPS) di dewan dan sekolah yang dikenal pasti.

Beliau berkata, pihaknya telah mengeluarkan arahan kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) agar sentiasa menyelenggara sistem saliran di bawah kuasa pentadbiran mereka.

"Sebagai contoh, MBSA juga telah membuat sewaan pam air dan membina kolam tadahan sementara bagi menghadapi banjir," katanya.

Tambahnya, Bilik Gerakan Bencana Daerah Klang turut diaktifkan bagi bertindak sebagai penyelaras dalam pengendalian bencana di daerah itu.

Artikel Berkaitan:

"JPBD Klang turut mengaktifkan pasukan tinjauan untuk melakukan tinjauan sepanjang tarikh berkenaan," katanya.

Fenomena air pasang besar dijangka melanda Kedah, Perak, Selangor dan Johor selama empat hari mulai 4 November depan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Ir Nor Hisham Mohd Ghazali berkata, fenomena tersebut akan menjadi lebih buruk jika disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat secara serentak.