Mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 526 orang

Anggota APM Kota Setar mula memindahkan mangsa banjir Kampung Kuar Mukim Tajar, Alor Setar ke PPS SK Darul Hikmah pada Isnin. - Foto APM Kedah
Anggota APM Kota Setar mula memindahkan mangsa banjir Kampung Kuar Mukim Tajar, Alor Setar ke PPS SK Darul Hikmah pada Isnin. - Foto APM Kedah
A
A
A

ALOR SETAR - Jumlah mangsa banjir di Kedah kembali meningkat kepada 526 orang membabitkan 145 keluarga setakat jam 8 pagi pada Selasa.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, kesemua mangsa tersebut melibatkan daerah Pendang, Pokok Sena, Kota Setar, Kubang Pasu dan Baling.

Menurutnya, jumlah itu meningkat berbanding 416 orang membabitkan 113 keluarga dari daerah Pendang, Pokok Sena dan Kota Setar setakat jam 12 tengah malam Isnin.

"Pusat pemindahan sementara (PPS) kini bertambah kepada lapan apabila tiga PPS lagi dibuka setakat jam 8 pagi pada Selasa iaitu masing-masing satu di Kubang Pasu dan dua di Baling.

"PPS itu ialah PPS SK Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang, Kubang Pasu melibatkan 65 mangsa daripada 19 keluarga, PPS SK Siong, Baling melibatkan tujuh mangsa daripada tujuh keluarga dan PPS Tunku Putera, Baling yang melibatkan lapan mangsa membabitkan satu keluarga," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, berlaku pertambahan mangsa di PPS Dewan Rakan Sukan, Tanah Merah, Pendang iaitu 245 orang daripada 61 keluarga berbanding 228 orang daripada 57 keluarga.

"Di daerah Kota Setar juga berlaku peningkatan kepada 179 orang daripada 52 keluarga berbanding 166 orang daripada 48 keluarga membabitkan PPS SK Langgar, PPS SK Suka Menanti dan PPS SK Darul Hikmah.

"Bagaimanapun jumlah mangsa banjir di daerah Pokok Sena kekal 22 orang dari lapan keluarga di PPS Surau Permatang," ujarnya.

Artikel Berkaitan: