Jangan pandang enteng isu gangguan seksual

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BARU-baru ini negara dikejutkan dengan pengakuan berani ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong yang mendedahkan beliau mempunyai pengalaman berdepan dengan seorang jurulatih yang menjadikan perkara lucah sebagai bahan lawak.

Menerusi perkongsian di Twitter, Pandelela mengakui pernah dibuli oleh seorang jurulatih selepas menegur sikap individu berkenaan yang sering membuat lawak berbaur lucah.

Luahan Pandelela mendapat maklum balas segera daripada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang menggesa semua atlet untuk terus bersuara tentang isu gangguan seksual seperti isu jenaka lucah.

Menurutnya, jika ia berlaku, kerajaan dapat mengambil tindakan segera berhubung perkara berkenaan.

Isu gangguan seksual mula hangat selepas pelakon terkenal, Fauzi Nawawi, 48, menceritakan adegan rogol yang pernah dilakonkan dalam satu rancangan televisyen sehingga menimbulkan rasa kurang senang pelakon wanita yang terlibat.

Malah, netizen turut mengecam tindakan Fauzi yang dilihat seolah-olah sengaja mahu membuka aib artis wanita terbabit yang kini sudah pun berumah tangga.

Namun, perkara tersebut dianggap selesai selepas Fauzi memohon maaf secara terbuka kepada artis wanita berkenaan menerusi sebuah video yang dimuat naik di akaun media sosialnya. Kisah itu harus dijadikan teladan. Isu gangguan seksual tidak boleh dipandang ringan.

Masih melibatkan isu yang sama, polis meminta saksi atau mangsa tampil segera bagi membantu polis dalam kes dakwaan gangguan seksual melibatkan seorang pendakwah terkenal.

Artikel Berkaitan:

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama untuk membantu siasatan.

Sebelum ini, polis menyatakan pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung video dan mesej lucah yang tular di aplikasi Telegram dikaitkan dengan seorang pendakwah.

Sebanyak 11,914 kes gangguan seksual direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2018 hingga Ogos lalu dan 90 peratus pemangsa adalah mereka yang dikenali dengan modus operandinya berperwatakan baik.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan, sebanyak 3,060 kes dilaporkan pada 2018, diikuti 3,487 kejadian direkodkan pada 2019.

Kata Kamsiah lagi, sebanyak 3,176 kes dicatatkan pada 2020, manakala 2,191 kejadian dilaporkan awal tahun ini sehingga Ogos lalu.

Penjenayah akan memperdaya mangsa untuk terjebak dalam hubungan romantik seperti mula berbual dan bertanya mengenai perkara sulit yang sepatutnya tidak ditanya seseorang individu,

Lebih membimbangkan apabila mangsa gangguan seksual yang direkodkan terdiri daripada remaja berusia 13 hingga 15 tahun.

Pemangsa menggunakan media sosial untuk mengumpan mangsa dengan 2,739 daripada kumpulan berkenaan telah menjadi mangsa dalam tempoh 2018 hingga tahun lalu.

Kamsiah mendedahkan, belia berusia 18 hingga 30 tahun paling ramai terpengaruh, dengan 5,331 kes dilaporkan.

Apa pun, harus diingat kesalahan seksual tidak semestinya bersifat fizikal, sebaliknya gangguan seksual boleh berlaku secara lisan, penghantaran kata-kata, video atau imej tidak diingini.

Kamsiah turut berpesan, selagi berbentuk mengaibkan sehingga melanggar kesantunan, mangsa boleh membuat laporan polis. Persoalannya, bolehkah kes gangguan seksual dihentikan?

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berjanji akan membentangkan rang undang-undang berkaitan gangguan seksual sebelum berakhirnya persidangan Dewan Rakyat Disember ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, ia akan dibentangkan selepas mendapat kelulusan agensi dan mesyuarat kabinet.

Pesanan kepada mangsa gangguan seksual, jangan berkongsi bukti secara terbuka di media sosial kerana ia boleh menjejaskan siasatan.

Ia juga dikhuatiri boleh menimbulkan pelbagai spekulasi dan perdebatan hingga mewujudkan kegusaran awam.

* Izwan Rozlin ialah Ketua Meja Jenayah Sinar Harian