Penduduk Kukup waspada fenomena air pasang besar

Pekan Kukup dijangka terlibat dengan fenomena air pasang besar selama empat hari bermula Khamis ini.
Pekan Kukup dijangka terlibat dengan fenomena air pasang besar selama empat hari bermula Khamis ini.
A
A
A

PONTIAN - Penduduk Pekan Kukup di sini bersedia menghadapi sebarang kemungkinan kesan fenomena air pasang besar yang diramal berlaku di kawasan itu selama empat hari bermula Khamis ini.

Penduduk, Abdul Razak Abdul Rahman 60, berkata, walaupun fenomena air pasang berlaku setiap tahun di Pekan Kukup sehingga dianggap perkara biasa, namun langkah berjaga-jaga tetap diambil.

Katanya, kejadian banjir kilat dan limpahan air laut luar biasa dibimbangi berlaku memandangkan musim hujan sejak sebulan lalu.

"Saya ada baca surat khabar tentang fenomena air pasang besar akan melanda Johor, Perak, Selangor dan Kedah. Daerah Pontian antara kawasan yang akan menerima kesan fenomena air pasang besar.

"Sekarang ini musim hujan, sudah tentu saya bimbang jika berlaku banjir kilat akibat hujan lebat dan air pasang yang berlaku serentak," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Isnin.

Abdul Razak yang merupakan Setiausaha Koperasi Pemandu dan Pemilik Kereta Sewa Kukup berkata, fenomana air pasang turut memberi kesan kepada peniaga di Pekan Kukup.

Jelasnya, kawasan Pekan Kukup akan digenangi air berikutan limpahan air laut kesan fenomena air pasang besar yang berlaku.

Artikel Berkaitan:

Abdul Razak menunjukkan kesan paras limpahan air laut akibat daripada fenomena air pasang besar pada tahun lalu di kawasan medan selera Kukup.
Abdul Razak menunjukkan kesan paras limpahan air laut akibat daripada fenomena air pasang besar pada tahun lalu di kawasan medan selera Kukup.

"Pekan Kukup terkenal sebagai lokasi pelancongan kerana ada terminal feri dan banyak chalet selain laluan utama untuk ke Pulau Kukup. Air laut yang melimpah menyebabkan kesukaran orang ramai untuk bergerak walaupun keadaannya tidak merbahaya.

"Peniaga makanan dan buah-buahan maklum tentang fenomena air pasang besar di Pekan Kukup. Kalau air pasang berlaku pagi, mereka tidak berniaga pagi tetapi berniaga pada sebelah petang," katanya.

Bagi Salbiah Sanip, 55 yang tinggal di Kampung Benteng Kukup, fenomena air pasang besar adalah kebiasaan yang berlaku setiap kali musim tengkujuh.

"Sekarang ini musim hujan, saya bimbang air pasang besar boleh menyebabkan kejadian banjir yang teruk, walaupun setakat ini rumah saya tidak pernah dinaiki air ketika fenomena air pasang berlaku.

"Dokumen penting seperti kad pengenalan, surat beranak telah disimpan di tempat yang selamat. Saya sentiasa berdoa agar tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini dan cuaca cerah ketika berlaku fenomena air pasang besar nanti," katanya.

Salbiah menunjukkan rumahnya yang dibina di atas air di Kampung Benteng Kukup.
Salbiah menunjukkan rumahnya yang dibina di atas air di Kampung Benteng Kukup.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan fenomena air pasang besar dijangka melanda Kedah, Perak, Selangor dan Johor selama empat hari mulai 4 November ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran, Datuk Ir Nor Hisham Mohd Ghazali berkata, fenomena tersebut akan menjadi lebih buruk jika disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat secara serentak.

ARTIKEL BERKAITAN: Fenomena air pasang besar mulai 4 November