Ke Uzbekistan secara merit, tanpa kalah, pencapaian amat baik

Kim Swee kini mengendali pasukan Sabah FC. - Foto Sabah FC
Kim Swee kini mengendali pasukan Sabah FC. - Foto Sabah FC
A
A
A

KEJAYAAN skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara layak secara merit ke pusingan akhir Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) 2022 dengan rekod tanpa kalah dan bolos adalah satu pencapaian yang sangat baik.

Bekas Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Ong Kim Swee berkata, cabaran yang ditempuh pasukan muda negara bukan mudah selepas terpaksa menghadapi saingan kelayakan kejohanan itu baru-baru ini tanpa sebarang pendedahan aksi persahabatan antarabangsa.

Beliau berkata, kekurangan itu dapat diatasi barisan anak buah Ketua Jurulatih Brad Maloney yang menunjukkan karakter terpuji sepanjang kempen kelayakan itu di Ulaanbaatar, Mongolia, selain berjaya memahami misi utama pasukan untuk meraih tiga mata dalam setiap perlawanan.

"Apabila pemain ke Mongolia mereka tahu untuk mendapatkan keputusan, walaupun kemenangan tipis tetapi 'keputusan kemenangan' itu penting yang akan membawa kita ke Uzbekistan tahun hadapan.

"Kita tahu daripada senarai 23 pemain ke Mongolia, 15 pemain adalah pemain yang boleh lagi beraksi pada kelayakan akan datang atau pun kelayakan Sukan Olimpik 2024. Ini penting kerana apabila layak mereka akan didedahkan lagi berdepan pasukan-pasukan berkualiti," katanya pada Isnin.

Malaysia mengesahkan slot ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan selepas menjuarai saingan Kumpulan J pusingan kelayakan itu dengan menewaskan Laos 1-0 diikuti kejayaan membenam Mongolia 1-0 sebelum seri tanpa jaringan menentang Thailand.

Ini kali kedua pasukan muda negara layak beraksi di pusingan akhir kejohanan berkenaan sejak ia mula dianjurkan pada awal 2014 dan bakal memasuki edisi kelima penganjurannya tahun depan.

Sebagai rekod, skuad B-22 negara yang dibimbing Kwee Swee pada ketika itu berjaya melangkah ke pusingan kalah mati selaku naib juara saingan kumpulan sebelum tewas 1-2 kepada Korea Selatan di pusingan suku akhir pada edisi 2018 di China.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bekas pengendali skuad senior kebangsaan itu yang kini mengemudi pasukan Sabah FC memuji corak taktikal diterapkan Maloney yang merupakan penolongnya sewaktu membimbing skuad muda itu sebelum ini.

"Dari segi keputusan kalau kita lihat mereka (pemain) tahu untuk mendapatkan keputusan dan corak permainan boleh dikatakan amat baik.

"Kalau kita dapat lihat perlawanan berlangsung di Mongolia dengan keadaan padang yang tidak begitu baik bagi saya ia menyusahkan semua pasukan untuk menggerakkan bola atau bermain mengikut cara latihan serta corak permainan mereka," kata Kim Swee. - Bernama